IMR TV

IMRTV

Khamis, 30 April 2009

dari blog muhaimin sulam

Ada Orang Melayu

Ada orang membaca dengan akal
Ada orang membaca dengan hati
Ada orang membaca dengan budi
Ada orang membaca dengan emosi

Dari situ kita kenal bagaimana
panjang tidak akalnya,
dalam singkat hatinya,
cetek tinggi budinya,
luas sempit emosinya.

Ada orang menulis dengan tangan
ada orang menulis dengan kepala
ada orang menulis dengan kaki
ada orang menulis dengan mata

Dari situ kita kenal bagaimana
cacat elok tangannya,
berotak tidak kepalanya,
kuat lembik kakinya,
sinar kelat matanya,

Sajak ini aku tulis spontan bila membaca blog Nik Abduh dan Nasaruddin Tantawi semalam. Lepas gemuruh dalam kelambu Umno, kini giliran gempita dalam rumah PAS. Semua gara-gara hendak mencari pemimpin. Benarlah seperti hikayat lama, ketika dilahirkan seorang putera, gegak gempita guruh di langit, kilat sambar menyambar......

Sebenarnya samada orang PAS atau Umno yang sememangnya Melayu begini.....

Mereka bergaduh dari jauh
Dekat mereka senyum, bersalam dan berpelukan
Lengkuk bibir tak sama lengkuk di hati
Marah orang Melayu cukup bersantun
Bising di belakang
Depan duduk bersimpuh
Diam tetapi berdendam
Cemburu melihat orang maju
Senang tengok orang susah
Bercakap tidak, mengumpat bertan-tan
Mudah maafkan tetapi sukar melupakan
Mengungkit jika disakit
Berbisik sebelum bercakap
Berfikir selepas terlajak

http://muhaiminsulam.blogspot.com/
Husam sedia tawar diri tanding jawatan Timbalan Presiden PAS

KOTA BAHARU: Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa tidak menolak kemungkinan menawarkan diri bertanding jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan pada muktamar agung parti Jun ini.

Katanya, beliau akan membuat kajian dan pertimbangan daripada pelbagai sudut sebelum membuat keputusan muktamad berhubung kemungkinan itu.

Antara faktor yang akan diambil kira dalam pertimbangan itu ialah harapan ahli yang memerlukan beliau berbuat demikian, sebab-sebab kewajaran beliau perlu bertanding jawatan itu dan arah tuju masa depan PAS terutama dalam menghadapi pilihan raya umum ke-13 nanti.

"Faktor-faktor ini perlu saya diambil kira sebelum saya buat keputusan muktamad berhubung pertandingan merebut jawatan nombor dua dalam parti," katanya kepada pemberita selepas melawat kilang membuat pakaian Nur Abadi Garments Sdn Bhd, di sini, hari ini.

Ditanya mengenai pencalonan yang diterimanya bagi bertanding, Husam berkata, beliau belum menerima maklumat mengenai pencalonan itu.

"Sebagaimana lazimnya, saya tidak suka menonjolkan diri untuk bertanding mana-mana jawatan dalam parti kecuali parti yang memerlukan saya berbuat demikian," katanya.

Oleh itu, beliau menegaskan, segala tindakannya bergantung kepada kepentingan parti yang mengatasi kepentingan diri sendiri.

"Saya percaya kualiti mulia yang diamalkan ahli PAS masih kekal dalam isu pemilihan pucuk pimpinan parti," katanya.BERNAMA

Rabu, 29 April 2009

kerja - kerja bodoh dalam pas (2)

April 28, 2009 in PAS, istizkariyyah, politik, umno, wa zakkir

Salam Kamunting,

1)

Saya menyegerakan penjelasan ini lebih awal daripada niat asal saya untuk menangguhkannya selang beberapa hari lagi. Bagi seorang blogger, adalah sayugia dan menarik untuk memerhatikan tindak balas daripada para pembaca dan masyarakat di luar terhadap apa yang dilontarkannya.

Saya tahu tulisan saya akan masuk akhbar dan menghangatkan dunia blog dan politik. Justeru apabila ia benar - benar terjadi, saya memerlukan sedikit masa untuk melihat, mengukur dan memutuskan sesuatu yang akan lebih mencorakkan apa yang saya inginkan daripada tulisan asal saya. Saya akan gagal jika arus luar menghanyutkan dan memesongkan saya daripada tempat tuju saya.

Saya tidak suka berbicara mengenai arus. Saya tidak beriman dengan arus kerana saya dilarang beriman dengan arus. Kuasa rakyat, Makkal Sakti atau apa nama yang bersifat arus, itu bukan makanan kegemaran saya.

Saya akan berbicara tentang sesuatu yang mencipta arus itu. Saya akan berbicara mengenai angin. Anginlah yang mencipta arus dan gelombang. Saya tidak beriman dengan angin juga. Tetapi saya akan meredah mencari punca angin. Di situ saya menemui apa yang saya inginkan.

Saya menemui Allah. Allah mencipta angin dan Allahlah yang mengarahkan angin mencipta arus dan gelombang. Allahlah tuhan saya. Saya beriman dengan Allah yang satu. Dalam gelombang jenis mana pun, saya mahu tenang. Allahlah sumber ketenangan saya dan seluruh pembaca yang inginkan ketenangan yang benar dan abadi.

Justeru saya tidak akan fana dan luluh dalam gelombang kuasa rakyat atau kemarahan dan ridha rakyat. Rakyat hanyalah mainan pemimpin. Pemimpin adalah angin. Pemimpinlah yang mencetuskan kuasa rakyat dan mengemudi halanya. Dalam kebangunan dan kejatuhan sesebuah negara, pemimpin digunakan Allah untuk menentukan kejayaan dan kehancurannya.

Allah mengarahkan pemuka - pemuka negara melakukan kebaikan dan keadilan. Jika mereka melakukannya, Allah perteguhkan negara tersebut dengan keadilan dan keamanan. Jika pemuka - pemuka itu engkar, malah melakukan kefasiqan dan kezaliman, Allah pasti menghancurkan negara itu sehancurnya. Ia berpindah dari gelap menuju gelap atau lebih gelap lagi.

Saya bercakap mengenai pemimpin. Rakyat perlukan pemimpin yang benar dan jujur. Kemudian dia mesti berani dan amanah. Jika seorang pemimpin mencetuskan arus, maka arus itu biarlah benar, berguna dan dinikmati hasilnya.

Semalam saya dihubungi ayahanda dari Kota suci Makkah. Saya tengah menulis pasal bola sepak dan tahniah saya pada pasukan Kelantan dan Selangor yang telah menyajikan permainan yang bagus dalam perlawanan akhir piala FA.

Saya pastinya tersentak. Saya tahu saja apa isinya perbualan nanti. AlhamduliLlah, ia mengesankan walaupun perbualan hanyalah sekitar dua tiga minit. Saya gembira dihubungi kerana saya dapat menjelaskan beberapa perkara yang saya fikir perlu.

Ayahanda menegur dan meminta saya tulis lagi agar kekeliruan dipadamkan. Jangan tinggalkan kekeruhan bertapak lama. Saya kata ya, saya akan tulis dan segera tulis sebagaimana ayahanda mahu.

Pastinya tulisan kedua ini lebih ringan bebanannya. Saya dapat lampu hijau daripada ayahanda. Sebelumnya, saya hanya memohon lampu hijau daripada Allah. Anda akan lihat bagaimana ketenangan mengalir dalam tulisan saya. Saya lebih yakin.

Selang beberapa jam, belum pun saya mula menulis, saya diberitahu bahawa sekumpulan insan sedang bergembira kerana hal Nik Abduh telah selesai. Ayahandanya telah mengarahnya berhenti buat cerita! Saya tersentak lagi. Wah, ada insan yang begitu teliti pekerjaannya sehingga dia tahu isi perbualan saya dengan ayahanda!

Sekarang anda tahu betapa saya sedang menempuh jalan yang sukar. Anda tahu saya perlukan keberanian yang sudah lama saya pohon daripada Tuhan saya. Betapa saya sering menangis memohon keberanian daripada Allah. Mengapa saya harus mendiam diri, takut dan dilanda kecewa sendirian? Dalam blog ini, saya sering menyeru agar jangan bersedih, berani kerana benar dan pelbagai dorongan ugama, tetapi saya sendiri kelu dan bisu di hadapan kebenaran yang mesti saya sampaikan kepada ayahanda. Saya melukut di hadapan pembohongan dan pemalsuan yang dipaksakan ke atas orang yang saya kasihi.

Sehingga saya tiba - tiba diberikan keberanian itu. Ia melanda - landa datang. Allah memperkenalkan saya jalan dan masanya. Saya kenal diri saya. Saya mampu mengesan, dengan izinNya bahawa sesuatu itu daripada nafsu atau daripada suluhan taufikNya. Ini untuk saya dan diri saya. Justeru saya mulakan dengan nama Allah. Anda pun telah membacanya.

AlhamduliLlah, dalam seketika sahaja saya dihujani tahniah. Ia tidaklah mengujakan saya sehinggalah saya menerima ucapa terima kasih daripada seorang yang saya sayangi. Dia guru saya dan guru ratusan ribu ahli PAS seluruh negara. Saya bertanya adakah saya telah mengganggu dan merosakkan jamaah? Jawabannya tidak. Ia dinikmati oleh mereka yang cintakan keharmonian dan para ulama yang saya maksudkan daripada tulisan saya.

Akhirnya, keberanian turut melanda mereka yang faham tetapi takut dan bersimpati daripada kalangan guru dan sahabat saya. Mereka berjanji untuk turut bersama. Saya bersyukur kerana saya sedang mencetuskan keberanian untuk semua. Kekuatan saya bertambah - tambah dan Allah memberikan saya ketenangan yang saya perlukan saat ini.

Anda bacalah komentar para penjengok blog ini. Ia berbaur antara puji dan keji. Inilah suara rakyat. Inilah suara yang saya mahukan setiap pemimpin bersimpati dan bertanggung jawab ke atas mereka. Mereka memuji dan mencela dalam arus yang diciptakan ke atas mereka. Justeru arus mestilah benar agar mereka tiada tertipu oleh pemimpin.

Sekarang masanya saya menjelaskan..

2)

Saya dengan sengajanya memilih perkataan ‘pembantu - pembantu ayahanda’ dan menjadikannya umum. Saya tembak terus kerana saya mahu semua orang kena. Semua mereka yang merasakan masing - masing adalah pembantu ayahanda. Saya mahu mereka bertanya, adakah aku yang dimaksudkan?

Pastinya mereka yang tidak pernah bercakap dan menyumbang idea kepada ayahanda mengenai isu - isu politik yang saya maksudkan akan merasakan mereka terkeluar. Keluarlah anda. Sesungguhnya Allah membalas pekerjaan anda dengan kebaikan yang melimpah daripadaNya.

Saya kenal kebanyakan pembantu ayahanda. Mereka inilah kaki dan tangan ayahanda yang telah banyak menyumbang dan berkorban. Daripada Abang Lah pemandu ayahanda yang telah berkhidmat sedari saya kecil sehinggalah YB Dato Ahmad Yaacob, Timbalan Menteri Besar Kelantan, ada ratusan pembantu ayahanda samada di pejabat PAS Kelantan, di pejabat SUK dan di luarnya.

Saya hormati mereka dan saya tabik mereka. Kerja dan bantuan mereka mengatasi saya. Saya hanyalah seorang anak yang menjadi pembantu dalam soal - soal kekeluargaan. Ayahanda pernah meminta saya menjadi Setiausaha Akhbarnya. Saya mohon derhaka. Ayahanda pernah bertanya tahun lepas, di kawasan mana saya mahu bertanding? Saya mohon derhaka. Ayahanda pernah meminta saya menjadi Pegawai Peribadi di DUNnya. Saya mohon derhaka. Ayahanda akur kerana dia tahu maksud dan bebanannya ke atas saya.

Saya mahu kekal sebagai pembantu di rumah. Saya meyakini kekuatan para pembantu ayahanda di luar. Saya tidak banyak masuk campur walaupun kadang - kala bonda bersungut mengenai beberapa pembantu yang dilihat gagal berperanan.

Kepada mereka saya doakan kesejahteraan di dunia dan akhirat.

Adapun maksud saya adalah para pembantu yang membantu dalam isu politik. Mereka ramai, mungkin berpuluh - puluh. Semua mereka adalah benar dan betul. Kerana jasa merekalah ayahanda jadi perkasa dalam dunia politik Islam dan tanah air.

Pekerjaan bodoh hanyalah satu. Dan atas pekerjaan yang satu inilah saya menyerang dengan panas. Apabila anda memuji saya, ia tak pun meredakan kemarahan saya. Apabila anda memaki saya, ia tak pun memarakkan kemarahan saya. Saya kekal panas sehinggalah ayahanda dibebaskan daripada kerja - kerja bohong, bodoh dan jahat ini.

Ayahanda adalah ayah saya. Darah dan dagingnya mengalir di tubuh saya. Jika anda berjutaan memerangi saya, anda tak akan mampu memisahkan di antara darah dan daging kami. Saya mempertahankan ayahanda sebagaimana saya mempertahankan saya.

Saya enggan melihat kepanasan ayahanda disebabkan pembohongan dan pemalsuan. Saya enggan melihat mendung di langit perjuangan Islam. Saya enggan melihat kekecewaan daripada hukuman yang salah dan palsu.

3)

Yang menghubungkan kita dengan langit adalah al Quran dan al Rasul sallaLlahu alaihi wasallam. Apabila baginda wafat, para ulama adalah pewaris. Ulama mewarisi ilmu, iman dan taqwa. Itulah legasi kenabian. Al Quran adalah punca ilmu yang benar. Ia dijaga kekuasaannya sehingga qiamat. Allah mempersiapkan para ulama dengan ilmu, iman dan taqwa demi kelangsungan perjuangan menegakkan kekuasaan al Quran ke atas manusia.

Ulama adalah cahaya yang menyinari kehidupan. Ketika PAS kesakitan, Allah mencetuskan idea kepimpinan ulama. Ia memberkati kebangkitan PAS. Allah bekalkan kita dengan para ulama yang menerajui dan menyatukan kekuatan.

Jika anda ingin berubah, berubahlah dalam kesatuan yang telah dibina para ulama. Jika anda ingin pembaharuan, bergeraklah bersama mereka.

Jangan tukarkan makanan dari langit dengan bawang putih dan bawang merah semata - mata anda sudah jemu dengan makanan syurga. Jangan tiru Bani Israel!

Ulama menyatukan kita sedang sesetengah anda memecahkan di antara ulama. Inilah kerja bodoh! Pemberi komen bernama MuhaiminSulam kata, tukarkan bodoh kepada jahat!

Saya memaksudkan mereka ini dan saya memaksudkan kerja seperti ini. Saya tidak memaksudkan kerja mereka yang lain walaupun ada lagi yang lain.

Saya menulis kerana ia sedang mengancam kesatuan dan ketenangan. Bukan saya, bahkan semua merasa tidak tenteram. Saya menyerang dipuncanya agar anda tahu puncanya. Apabila anda menguasai puncanya anda akan kembali dengan ketenangan dan kekuatan.

4)

Saya nukilkan perbualan saya dan ayahanda pasal idea Unity Government dan Pakatan Rakyat. Saya kemukakan titik persamaan dan perbezaan. Jawaban ayahanda adalah di sebalik yang anda perolehi di luar. Saya kata ayahanda menerima hujah keharusan itu.

Saya tak kata ayahanda dah setuju dibentuk kerajaan bersama BN. Saya tak tanya pun adakah dia setuju atau tidak. Itu tidak penting. Ia tidak mengganggu apa yang saya mahukan daripada jawabannya itu.

Anda dan surat khabar hanya mentafsirnya. Jika anda mahu tafsiran terbaik, tanya dia sendiri. Saya tidak memerlukan jawaban itu.

Ingat, saya bukan mendodoi Unity Government di sini. Nak berhujah, cari di tempat lain. Saya hanya mahu anda faham mengapa wujud percanggahan di antara sebelum dan selepas pertemuan itu? Mengapa sejuk sesudah panas? Saya memberitahu anda sebabnya. Sebabnya adalah pekerjaan bodoh itu.

Kerja bodoh bukan menolak Unity Government. Kerja bodoh ialah memahamkan maksudnya dengan maksud yang tak benar dengan tujuan yang tak benar di sisi ugama.

Jika anda mahu lawan, cukup anda buktikan bahawa saya telah berbohong tentang kewujudan kerja bodoh itu. Jika anda sangsi, usah percaya dan usah bohongi. Saya menulis kepada pembaca di blog saya yang yakin bahawa saya tidak berbohong. Kepada mereka saya mahu memberikan rasa tenang dan yakin.

Saya juga menulis untuk disampaikan kepada pembantu - pembantu itu agar bertaubat. Kerja kamu itu sia - sia di sisi tuhan walau kamu digilai manusia dan haiwan pun.

Kemudian saya tambahkan perencah. Wujud mereka ( pembantu ) yang berang sesudah ayahanda tersenyum lebar di JKR 10 selepas pertemuan di antara anggota Majlis Syura. Mereka gagal memisahkan di antara ulama.

Jika anda mahu lawan, cukup anda buktikan saya bohong. Tidak wujud keberangan itu. Jika tidak, anda melibas pedang di angin, lalu mendakwa tubuh saya telah putus seribu.

Saya perhatikan seni hujahan anda. Tumpul dan rapuh. Saya jentik, terbang bagai abu di hujung rokok. Sila datang kepada saya di luar, mari bersabung. Saya tunjukkan anda seni berhujah yang digemari agama dan malaikat.

5)

Saya berpegang sebagai mana ahli PAS berpegang. Pakatan Rakyat adalah sebaik - sebaik temuan dan alternatif hari ini. Tulisan saya sebelum ini menyokong DSAI sebagai peneraju jika ianya disepakati. Hujah agama membenarkan. Tulisan saya sebelum ini menolak pakatan dengan BN, apatah masuk BN. Sehingga BN bersetuju untuk berubah, hukum agama mengambil tempat.

Saya menyeru kepada pembukaan. Jangan tutup apa yang Allah mahu ianya terbuka. Anda akan bernafas lebih lega dan harmoni. Anda akan lebih gagah melangkah.

Ini siasah syar’ieyah. Dua tuan guru ini adalah pakar ilmu ini. Apabila mereka bertelagah saya tak rimas pun. Saya tahu mereka akan bertemu dan bersetuju. Saya diberitahu TGHH dinasihat untuk tidak berjumpa ayahanda ketika panasnya, tetapi beliau enggan. Beliau tahu ayahanda akan reda. Reda dan ridha dengan temuan ilmu dan hujah. Itulah yang berlaku.

Tetapi, kerja - kerja bodoh mengambil tempat. Mereka inilah batu api. Batu api inilah satu kerja dosa besar yang merosakkan jamaah dan ummah. Atas kerja bodoh inilah saya doakan Allah membalas mereka di dunia agar mereka kembali sedar dan bertaubah.

Itu hikmah Allah membalas di dunia. Anda alim, ingat ayat itu. Anda jahil, tanya orang alim. Jangan meracau tak tentu pasal marahkan saya menamakan sesetengah manusia sebagai ulama ‘mi celup’. Apa tak adakah di dunia ini orang jahil yang mengaku alim?

Macam peniaga makanan kesihatan dalam MLM. Habis kursus sebulan pasal produk, mereka keluar bersyarah macam seorang doktor. Anda marahkah jika saya namakan mereka doktor ‘mi celup’?

Saya belajar ugama. Maka saya tahu saya bukan taraf ulama. Saya tahulah siapa ulama yang benar dan palsu. Saya ada neracanya mengenal kaca dan permata. Kerana itu saya mempertahankan ulama yang saya kenali dan akui ilmu, iman dan taqwa mereka.

Mereka di hadapan anda. Menyayangi ulama adalah iman. Memusuhi ulama adalah perang terhadap Allah. Ingat al hadis itu. Justeru jangan mencetuskan kebencian dan kerenggangan di antara awam dan ulama, apatah memecahkan saf para ulama.

Jangan lupa blog saya. Doakan saya terus mampu menulis demi perjuangan meruntuhkan kekuasaan BN durjana.

Isnin, 27 April 2009

Mejelang Muktamar PAS ke-55

Jawatan Ketua Pemuda Pas Kelantan

Anak Haji Droman Nak Lawan Anak Nik Aziz

APABILA Nik Abduh menyerang para wazir otak kemetot ayahandanya, Nik Abdul Aziz Nik Mat apakah beliau ingin menghantar mesej tertentu? Kenapakah beliau mendedahkan pekerjaan sesat di jalan Allah itu (istilah Nik Abduh) yang melagakan ayahnya dengan Abdul Hadi Awang sewaktu ayahnya di Makkah?
Ikuti seterusnya di laman blog MSO:

Sabtu, 25 April 2009

kerja - kerja bodoh dalam pas

Salam Kamunting,

Di meja makan di bahagian dapur di rumah ayahanda yang saya masih kekal tinggal bersama sedari kelahiran dulu, selalulah saya bersembang dengan ayahanda pasal macam - macam hal kehidupan yang biasanya akan panas dan panjang bila ianya berulamkan politik dan perjuangan.

Terbaru saya lontarkan kepadanya hujahan para ulama daripada buku yang saya baca mengenai keabsahan seorang muslim untuk hadir dan turut sama menjawat dan memerintah di dalam sebuah kerajaan yang bukan Islam.

Saya sebutkan kepada ayahanda bagaimana para ulama mengambil bahagian cerita Nabi Yusuf alaihissalam menjawat jawatan sebagai menteri kewangan di dalam sebuah kerajaan syirik Mesir kuno sebagai hujah utama dan vital yang membenarkan penawaran untuk turut membantu pemerintahan bukan negara Islam.

Syarat terpenting yang menjadi pemutus ialah jemputan kepada jawatan itu mestilah dalam kemuliaan dan kekuatan. Mereka meminta dan kita berhak memutus, bukan mereka. Kemudian kita tidak diikat dengan syarat - syarat yang menghalang unsur keadilan Islam untuk ditegakkan. Masuk dengan kemuliaan sebagaimana Nabi Yusuf dijemput untuk turut mempersembahkan kebijaksanaan dan keadilannya ke atas rakyat dalam pemerintahan tersebut.

Saya kemukakan untuk memukaddimahkan perbincangan mengenai kerajaan Pakatan Rakyat dan Unity Government yang dicadangkan sebagai alternatif kepada kerajaan BN hari ini sedang merasai kepedihan dihimpit kemarahan rakyat yang melata.

Saya memberanikan untuk berhujah bahawa samada BN atau Pakatan Rakyat, kedua - duanya bukan daripada jenis negara Islam. Maka menerima kerajaan mana pun, hujahnya ada dan hujah itu terpakai dengan syarat ketat sebagaimana yang digariskan ugama tersebut.

Selamba saja ayahanda memberi komen. “Ya, jika BN mahu kita bersama, mereka mestilah bersedia memberikan kita jawatan - jawatan yang penting yang kita akan laksanakan program Islam di dalamnya. Berikan Kementerian Kewangan dan Kementerian Pendidikan misalnya. Kita nak jadi PM mesti mereka tak terima. Jadi kita minta apa yang penting untuk kepentingan rakyat dan negara. Kita boleh bersama.”

Saya memiliki banyak cerita menarik di sebalik apa yang anda tahu mengenai ayahanda. Komennya di atas bukankah mencetuskan persoalan ini di benak anda, bukankah Tok Guru lantang menolak Unity Government? Bukankah Tok Guru berang dengan cadangan Tuan Guru Hj Hadi ini?

Biar saya bagitahu anda, ayahanda hidup dengan hujah. Itulah makanan berkhasiat yang memanjang dan memberkati umurnya. Bila hujah ugama itu ada, bagaimana ayahanda akan tolak mentah - mentah?

Justeru fahami ini bahawa ‘Unity Government’ yang ditolak ayahanda adalah jenis kerajaan yang difahamkan kepadanya oleh pembantu - pembantu ayahanda yang berpakaian serba tahu. Mereka seronok untuk melaga -lagakan di antara TGNA dan TGHH.

Mereka menyangka mereka telah melakukan kebaikan, sedang telah sesatlah segala usaha mereka di sisi tuhan. Semoga Allah membalasi mereka dengan kejahatan yang mereka lakukan!

Bukankah anda dapat lihat bagaimana semacam ayahanda menghentam ‘kerajaan campuran’ bukan unity Government? Bukankah selepas pertemuan kurang sepuluh mata bersama TGHH, ayahanda tidak lagi menyerang. Ertinya sesuatu yang baru dan meyakinkan telah diperolehinya daripada TGHH. Itulah yang disembunyikan secara sengaja daripadanya.

Di mana pergi pembantu - pembantu ayahanda yang sesat pekerjaan mereka itu di sisi tuhan!? Semoga Allah melaga- lagakan di antara mereka pula di dunia ini agar mereka segera bertaubat!

Modus Operandinya sama. Selepas pertemuan ayahanda dengan ulama PAS di JKR 10 beberapa bulan lepas, ayahanda menerima muzakarah atau muqabalah selepas bermatian menolaknya. Saya diberitahu daripada sumber yang diyakini, sesetengah pembantu ayahanda ini menyumpah seranah kerana kegagalan mereka mengekalkan ayahanda dalam suasana keruh dan panas dengan TGHH. Mereka gagal selepas mereka yakin berjaya. Allah menggagalkan usaha jahat mereka.

Ayahanda seorang yang hebat. Antara kehebatannya adalah ‘husnuzhan’ dengan semua orang. Semua orang boleh hidup di sekelilingnya. Pembantu, pengampu, pencacai dan sesiapa pun. Tolak babi dan anjing! Tuhan membalas atas pekerjaan masing - masing.

Adapun penghormatan ayahanda terhadap TGHH, maka ia adalah penghormatan yang gagal diperolehi kecuali oleh para ulama. Ayahanda sering memuji TGHH. Saya pernah mendengarnya menakjubi ucapan TGHH di Parlimen yang dibacanya di dalam Harakah sedang masa itu suasana panas isu muzakarah masih memuncak. Sesetengah pembantu ayahanda merasa iri dan hasad selepas penghormatan itu gagal menempati diri mereka.

Bagaimana mereka akan memperolehinya, sedang mereka hanya belajar ugama sekadar ‘mi celup’, lalu mendakwa mereka pun ulama juga dengan istilah - istilah ugama yang dihafal, bukan difaqihi?

Dunia ulama adalah penuh disiplin. Taqwa adalah disiplin terbaik. Taqwa adalah milik ulama, bukan milik orang yang mengaku ulama atau ulama mini sekali pun. Kita tidak mampu merebutinya kerana ia adalah kurniaan khas daripada Allah. Kita hanya mampu meminta daripadaNya.

Menghampiri proses pemilihan menjelang Muktamar PAS nanti, anda sedang menyaksikan usaha daripada pelbagai sudut dan penjuru, jauh dan dekat oleh sesetengah yang mungkin saja saya sifatkan sebagai sekumpulan ‘pejuang nafsu’ yang tersusun untuk memisahkan di antara ulama yang disayangi rakyat.

Ayahanda digunakan. Inilah calon restuan Tuan Guru Nik Abdul Aziz! Inilah calon restuan Kelantan!Bukankah sebelum ayahanda berangkat ke Mekah, beliau secara jelas mengumumkan untuk tidak berpihak dan menyatakan keenggananya bersuara, bimbang ia mengganggu emosi ahli PAS di dalam kebebasan memilih?

Di mana adab? Di mana kesetiaan? Di mana sifat malu?

Masihkah anda mahu hanyut dalam dunia politik yang kotor hatta dalam PAS? Jika begitu, sayalah musuh anda!

Rabu, 22 April 2009

Minggu tidak tonton TV

KUALA LUMPUR 21 April - Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) hari ini melancarkan kempen minggu tidak menonton televisyen bagi menggalakkan ibu bapa dan anak-anak meluangkan masa bersama.

Ketua Eksekutifnya, Mohd. Yusof Abdul Rahman berkata, kempen selama seminggu itu bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat supaya menjalankan aktiviti yang lebih bermanfaat bersama keluarga.

"Kita bukan mahu menyekat masyarakat daripada memperoleh maklumat. Tetapi kita mahu mereka menghiasi masa dengan aktiviti yang lebih berfaedah seperti berkelah, bersenam, bersiar-siar bersama-sama keluarga.

"Selain merapatkan hubungan keluarga, mereka juga mengamalkan gaya hidup sihat," katanya pada sidang akhbar kempen Minggu Tidak Menonton Televisyen di sini hari ini.

Menurut beliau, kempen tersebut merupakan pertama kali diadakan di negara ini.

"Di negara luar, mereka telah lama mengadakan kempen sebegini sejak tahun 1995 lagi. Insya-Allah kita akan adakan kempen ini untuk tempoh empat tahun," katanya.

Mohd. Yusof memberitahu, kempen tersebut juga akan membantu masyarakat supaya bersikap lebih berhemah.

"Apabila mereka kurang menonton televisyen ini secara tidak langsung mengurangkan belanja mereka. Sudah tentu bil elektrik mereka juga akan menurun dan ini memberi kesan yang baik dalam masyarakat," katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Yusof berkata, beberapa lagi siri kempen akan diperkenalkan sepanjang tahun ini bagi memberi kesedaran kepada masyarakat.

"Selepas ini kita akan perkenalkan kempen berkongsi kereta, mengurangkan penggunaan kad kredit dan sebagainya," katanya.

Ahad, 19 April 2009

Bantahan PPSMI menanti di Penanti

Jimadie Shah Othman Apr 17, 09 11:43am

Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said berikrar terus membantah dasar Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), termasuk dalam pilihanraya kecil DUN Penanti tidak lama lagi.

"Untuk saya sendiri, saya akan teruskan (berkempen). Biarpun saya kalah dalam berlawan," katanya kepada Malaysiakini ketika ditanya sama beliau akan turut serta berkempen kali ini seperti pada pilihanraya kecil Kuala Terengganu dan Bukit Selambau.

"Saya akan terus (berkempen) kerana saya merasakan, yang paling penting (menjelaskan persoalan) mengapa Kementerian Pelajaran melanggar Akta Bahasa (dengan melaksanakan PPSMI)?

"Atas alasan itu (saya berkempen)."

Bekas timbalan satu ketua menteri Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin semalam menyerahkan surat rasmi meletak jawatan ADUN kawasan itu berkuatkuasa serta-merta.

Mengulas lanjut kempen membantah PPSMI menggunakan saluran pilihanraya kecil, A Samad menjelaskan, kempen menggunakan medan itu "lebih berkesan" berbanding kaedah lain, misalnya menghantar memorandum.

"(Memorandum) itu salah satu (saluran). Selalunya, memorandum itu akan diperap oleh hal yang lain. Sebab mereka (kerajaan) merasakan soal bahasa itu tidak terlalu penting," katanya, yang bertindak sebagai penasihat Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP).

GMP bulan lalu menganjurkan demonstrasi besar ke Istana Negara bagi menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong dan kini A Samad bersama barisan pemimpin gabungan itu, termasuk pengerusinya Datuk Dr Hassan Ahmad, dalam siasatan polis.

A Samad juga melihat peralihan pucuk kepimpinan dalam Kementerian Pelajaran kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak membayangkan pemansuhan dasar itu.

"Saya fikir mereka sendiri merasakan bahawa apa yang diasaskan (Datuk Seri) Hishammudin (Hussein) itu tidak perlu diganggu. Itu yang saya rasakan, begitulah," katanya yang terkenal dengan novel Salina.

"Apa yang disebut Muhyiddin, bahawasanya (beliau) menerima apa yang diwariskan dan akan membawa benda itu ke kabinet. Tetapi itu tidak berbeza daripada apa yang Hishammuddin cakap (sebelum ini)."

Timbalan perdana menteri - selepas majlis terima tugas dari bekas menteri pelajaran - dilaporkan berkata ingin mendapatkan maklum balas beberapa kementerian lain sebelum memutuskan dasar PPSMI.

Muhyiddin juga mengulangi kenyataan Hishammudin sebelum ini yang dilaporkan berkata kertas laporan telah siap dan sedia dikemukakan untuk pertimbangan mesyuarat kabinet dalam masa terdekat.

Ditanya sama ada beliau telah putus harapan terhadap kementerian itu, A Samad berkata:

"Bukan putus harapan tetapi tidak ada apa yang bergerak."

GMP juga berkempen di Bukit Gantang baru-baru ini walaupun A Samad tidak ikut serta kerana menghadiri satu acara di luar negara.

Beliau pernah dilaporkan menyeru rakyat menyokong PAS dan PKR dalam pilihanraya kerana kedua-dua parti ini sahaja terletak harapan untuk mendaulatkan bahasa Melayu.

http://www.malaysiakini.com/news/102545

Selasa, 14 April 2009

SU presiden PAS, tokoh ulama tewas

Abdul Rahim Sabri Apr 14, 09 3:43pm

Setiausaha akhbar presiden PAS gagal mempertahankan jawatannya sebagai yang dipertua yang disandang selama dua penggal, sementara seorang tokoh ulama PAS tewas di tangan seorang pesara guru.

Roslan Shahir Mohd Shahir gagal di Kelana Jaya, manakala ahli parlimen Baling, Taib Azamudden Md Taib kalah sebagai timbalan yang dipertua.

Pegawai Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu gagal mempertahankan jawatan tersebut yang dipegangnya sejak 2005 – sebagai kawasan parlimen yang baru – di tangan timbalannya Izham Hashim.

Kenaikan Izham, yang juga ahli Majlis Bandaraya Shah Alam, dianggap suara akar umbi PAS yang menolak Roslan kerana didakwa sering mempertahankan isu rundingan dengan Umno.

Izham memberitahu Malaysiakini, Roslan tewas akibat dua faktor utama – pertama, kecenderungan ahli-ahli menolak isu kontroversi tersebut, termasuk cadangan Abdul Hadi menganjurkan kerajaan campuran, dan juga beliau dikatakan tidak rapat dengan pemimpin-pemimpin cawangan.

Dihubungi hari ini, Roslan menafikan kekalahannya itu "ada kena-mengena" dengan isu rundingan PAS-Umno dan kerajaan campuran.

"Kalah menang adat pertandingan, mungkin akar umbi mahu pemimpin (yang) lebih baik daripada saya, bekerja lebih kuat daripada saya," katanya.

Roslan, yang juga ketua penerangan PAS Selangor, tewas 10 undi di tangan jurutera itu daripada 102 perwakilan.

Kelana Jaya mencalonkan Datuk Husam Musa sebagai timbalan presiden, manakala Mohamad Sabu, Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin dan Taib Azamudden sebagai naib presiden.

Taib Azamudden, bekas imam besar Masjid Negara, tewas kepada ADUN Kupang, Johari Abdullah dengan majoriti lebih 40 undi daripada lebih 600 perwakilan.

Bagaimanapun, jawatan yang dipertua bagi kawasan tersebut yang disandang Abdul Wahad Hassan dan naibnya Hassan Saad tidak dipertandingkan.

Kawasan itu tidak mencadangkan nama-nama untuk mengisi pemimpin atasan PAS, sebaliknya menyerahkan kepada barisan pemimpin Baling yang baru dilantik.

Mesyuarat kawasan-kawasan PAS yang bermula 9 Mac lalu, akan berakhir hujung minggu ini. Manakala mesyuarat ketiga-tiga dewan - Pemuda, Muslimat dan Ulama - di peringkat negeri akan berlangsung antara 20 April hingga 10 Mei.

Pemilihan barisan pemimpin atasan parti di muktamar ke-55 di Stadium Malawati, Shah Alam antara 3 hingga 7 Jun dijangka menampilkan pertarungan sebenar aliran-aliran utama parti itu, khususnya golongan pro-muzakarah dan pro-Pakatan Rakyat (dikenali juga "kumpulan Erdogan").

Ia dijadual disertai lebih 1,000 perwakilan dari 175 kawasan PAS di seluruh negara.

Pemilihan dan persidangan Pemuda, Muslimat dan Ulama dijadual berlangsung sehari pada 4 Jun.

http://www.malaysiakini.com/news/102328

Sabtu, 11 April 2009

Mengenang Ustaz Jaiz Anwar

Mohd Fadli Ghani Thu Apr 09, 09 12:20:51 pm MYT

KETIKA cawangan PAS ditubuhkan di Hilir Perak pada awal 1953, Ustaz Jaiz Anwar adalah seorang pelajar di Madrasah al-Ulum as-Syar�iyyah, Batu 20 Bagan Datoh, Perak.

Guru besar madrasah tersebut, Dato' Hassan Adli Mohd Arshad, bekas Timbalan Yang Dipertua Agung PAS yang lebih dikenali sebagai �Pak Aji� di kalangan pelajar merupakan Setiausaha PAS Hilir Perak dewasa itu.

Maka ramailah pelajar Madrasah al-Ulum turut terlibat dalam program-program PAS di Hilir Perak ketika itu. Mereka bukan sekadar menjadi penyokong PAS, tetapi pendukung setia yang menggerakkan PAS Hilir Perak yang ketika dipimpin oleh Dato' Othman Abdullah.

Bagan Datoh sememangnya melahirkan ramai pemimpin besar PAS termasuk Haji Ahmad Ali, Ustazah Zaharah Othman, Dato' Hassan Adli dan Ustaz Jaiz Anwar. Ustaz Jaiz dilahirkan di Kampung Sungai Sumun, Bagan Datoh pada 1941 dalam sebuah keluarga yang taat beragama. Semasa kecilnya, beliau belajar di Sekolah Melayu Bagan Pasir.

Semasa memasuki alam persekolahan, suasana politik Tanah Melayu agak kucar-kacir kerana baru lepas perang dan timbulnya perjuangan menentang Malayan Union. Dari tahun 1948 beliau bersekolah di sini selama tiga tahun. Sekolah Melayu hanya setakat Darjah 3 sahaja. Lalu bapanya menghantar Ustaz Jaiz ke Madrasah al-Ulum kerana di sana, Tuan Guru Mohd Arshad Mohd Salleh menjadi mursyidnya. Bapa kepada Dato' Hassan Adli ini adalah ulama yang sangat dihormati.

Belajar di Batu 20 selama empat tahun telah membentuk jiwa politik yang agak kental dalam diri beliau. Gurunya, Ustaz Hassan Adli bukan sekadar seorang guru atau ulama, tetapi tokoh politik yang terkenal juga di sana. Semenjak 1952, Ustaz Hassan Adli sudah menyertai PAS.

Turut mengajar di madrasah ini ketika itu ialah Dato' Mohd Ghazali Abdullah (ayah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Lo'lo'), Mufti Perak yang ketika itu adalah Timbalan Yang Dipertua Agung PAS.

Suasana politik yang mahukan kemerdekaan amat mempengaruhi para pelajar. Ustaz Hassan Adli juga merupakan Setiausaha Persatuan Guru-guru Madrasah Agama Rakyat Perak (PGMR) yang menyebabkan tokoh-tokoh ulama seperti Tuan Guru Abdul Samad Noh sering keluar masuk ke madrasah itu.

Pada 1955, Ustaz Jaiz mendapat peluang menyambung pengajian di Maktab Mahmud, sebuah sekolah agama terkenal di Kedah.

Menjadi pelajar di Maktab Mahmud rupanya lebih mencabar daripada Madrasah al-Ulum kerana di sini pergolakan politik semasa lebih luas diperkatakan. Salah seorang gurunya, Ustaz Jamaluddin Amini Marzuki ialah Naib Ketua Pemuda PAS Pusat ketika itu.

bersahabat dengan Ustaz Fadzil

Semasa di Darjah 1 di Maktab Mahmud, Ustaz Jaiz mula berkenalan dengan beberapa tokoh pelajar seperti Ustaz Johari Ahmad (bekas Pegawai Hal Ehwal Khas Jabatan Penerangan) dan Ustaz Fadzil Mohd Nor. Ustaz Fadzil ketika ini adalah Setiausaha Persatuan Pelajar Melayu Alor Setar dan Setiausaha Kesatuan Pelajar Agama Kedah (KPAK).

Ustaz Jamaluddin Amini sendiri merupakan Yang Dipertua Kesatuan Pelajar Agama Se-Malaya (KPAS) yang ditubuhkan pada 1954. Ustaz Jaiz ketika balik ke Malaysia pada 2001 sempena sambutan 50 tahun PAS memberitahu bahawa beliau bersama-sama Ustaz Jamaluddin Amini, Ustaz Fadzil dan Johari Ahmad mengikuti usrah Ikhwanul Muslimin di Maktab Mahmud yang dipimpin oleh Sheikh Taqiyuddin Qandil, bekas Setiausaha Ikhwanul Muslimin Kaherah yang lari ke Tanah Melayu selepas pembunuhan Hassan al-Banna.

Mereka adalah kumpulan pertama pelajar Melayu yang mengikuti tarbiah Ikhwanul Muslimin di Malaysia kerana Sheikh Taqiyuddin Qandil adalah pensyarah di Maktab Mahmud dan turut mengajar di Madrasah Alawiyah, Arau.

Melalui Sheikh Taqiyuddin mereka didedahkan dengan pemikiran Islam yang dicetuskan oleh Hassan al-Banna. Semenjak itu, mereka menjadi pendukung kuat PAS dan turut terlibat berkempen dalam pilihan raya 1955 di Alor Setar. Selepas tamat kelas Sanawi pada 1958, Ustaz Jaiz yang ketika itu menjawat Ketua Penerangan KPAS merangkap Ketua Kesatuan Pelajar Islam Perak (KPIP) telah menyertai PAS.

Antara orang kuat beliau dalam KPIP ialah Ustaz Hassan Shukri. Beliau kemudian dicalonkan oleh PAS untuk bertanding dalam pilihan raya umum Kedah pada 1958 di Dun Alor Setar, tetapi tewas kepada calon MCA yang mewakili Perikatan.

Ustaz Jaiz kemudian masuk semula ke Maktab Mahmud untuk mengikuti pengajian peringkat tinggi (qismu ali) dan mula memegang jawatan sebagai Setiausaha Agung KPAS (1958-1960). Dalam KPAS ketika itu terkenal dengan �3J� (Jamaluddin, Johari, Jaiz). Pada 1959 mereka bertiga mewakili Pemuda PAS melawat Pak Natsir di Jakarta.

Selepas menamatkan Darjah 9 di Maktab Mahmud pada 1960, Ustaz Jaiz melanjutkan pelajaran di Universiti al-Azhar, Mesir dalam bidang syariah. Menurut Ustaz Yahya Othman, ketika beliau belajar di Mesir pada 1962, Ustaz Jaiz sudah aktif memimpin pelajar di sana.

Ustaz Jaiz dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Persatuan Melayu Mesir (PMM) dan mengetuai Lajnah kebajikan persatuan tersebut. Selain bergerak bersama pelajar Melayu, Ustaz Jaiz turut mendapat sentuhan tarbiah daripada pemimpin Ikhwanul Muslimin di Mesir.

Pada 1964, Ustaz Fadzil mengikuti jejak Ustaz Jaiz belajar di Mesir, tetapi ketika itu Ustaz Jaiz sudah di tahun akhir. Selepas mendapat ijazah BA dalam bidang syariah, Ustaz Jaiz segera balik ke Malaysia pada 1965. Oleh kerana beliau sudah terkenal di kalangan ahli-ahli PAS di Perak, beliau terus dilibatkan dalam PAS, tetapi bukan di Hilir Perak, sebaliknya di utara Perak dan Kedah.

wakafkan diri

Sebagai seorang yang berpendidikan tinggi, Ustaz Jaiz yang mewakafkan dirinya untuk perjuangan PAS telah dilantik sebagai Pegawai Penerangan Luar di Pejabat Agung PAS pada 1966. Ketika itu antara pegawai di Pejabat Agung PAS termasuklah Ustaz Abu Bakar Hamzah, Ustaz Othman Hamzah dan Ustazah Hayati Hassan. Ketika bertugas di Pejabat Agung PAS sebagai Pegawai Penerangan Luar, beliau banyak melawat cawangan-cawangan PAS yang menyebabkan nama beliau mulai terkenal. Beliau juga turut menulis dalam Bulan Bintang, lidah rasmi PAS ketika itu untuk menjelaskan konsep negara Islam dan juga menjawab tuduhan-tuduhan ke atas PAS.

Pada masa itu secara kebetulan Ustaz Abu Bakar Hamzah, Ketua Pemuda PAS diserang sakit jantung. Dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS ke-17 dan 18 di Kangar pada 1968, Ustaz Jaiz telah dipilih sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, iaitu serentak dengan perlantikan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai Ketua Dewan Ulama PAS Pusat.

Ustaz Jaiz tidak lama memimpin Dewan Pemuda PAS kerana beliau berhasrat melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Sebaik menjadi Ketua Pemuda PAS, Ustaz Jaiz melantik Ustaz Hassan Shukri menjadi Ahli Jawatankuasa Dewan Pemuda PAS Pusat merangkap Ketua Jabatan Pelajaran dan Tabligh Pemuda PAS.

Dewan Pemuda PAS pada 1968 telah melancarkan Gerakan Insaf untuk membentuk kesedaran politik Islam di kalangan belia. Ketika itu, Umno sedang giat menggerakkan Pemuda Tahan Lasak yang agak ganas ketika itu. Ustaz Jaiz kemudian telah melancarkan satu gerakan, iaitu Gerakan Syuhada�, gerakan untuk melahir pemuda-pemuda PAS yang berani berjuang menghadapi Pemuda Tahan Lasak Umno, terutama dalam pilihan raya 1969. Ustaz Jaiz sendiri telah menjadi calon di Parlimen Besut pada 1969 yang merakamkan kisah pahit dalam perjuangan beliau.

"Saya berseorangan dikepung oleh Pemuda Tahan Lasak Umno yang bersenjata dalam pilihan raya di Besut," cerita Ustaz Jaiz dalam satu temuramah dengan Ustaz Misbahul Munir di London pada 2002. Pengalaman yang serupa juga dialami oleh Ustaz Hassan Shukri yang bertanding di Sabak Bernam ketika itu. Ustaz Jaiz tewas kepada calon Perikatan dengan majoriti yang tipis selepas ugutan-ugutan Umno. Dewan Pemuda PAS selepas Peristiwa 13 Mei 1969 telah melancarkan satu lagi gerakan iaitu Gerakan Seksi Pembinaan Mental atau lebih terkenal sebagai Gerakan SPEM pada 1970.

Melalui Gerakan SPEM inilah lima prinsip yang diasaskan oleh Hassan al-Banna diterapkan iaitu Allah matlamat kami, Rasul pemimpin kami, Al-Quran perlembagaan kami, jihad jalan kami, dan mati di jalan Allah cita-cita tertinggi kami.

Dalam satu pertemuan dengan Ustaz Jaiz di London pada 2001, beliau memberitahu bahawa ketiga-tiga gerakan ini bertujuan untuk membina kesedaran Islam di kalangan pemuda PAS.

Setelah berjaya melaksanakan perubahan dalam tarbiah Dewan Pemuda PAS, pada 26 September 1970, Ustaz Jaiz telah meletakkan jawatan beliau sebagai Ketua Pemuda PAS merangkap Pegawai Penerangan Luar PAS kerana ingin melanjutkan pengajian di peringkat doktor falsafah (PhD) dalam bidang undang-undang di United Kingdom.

Sebelum ke sana, Ustaz Jaiz telah diambil menjadi menantu kepada Yang Dipertua Agung PAS, Dato� Mohd Asri Muda.

"Semasa belajar di UK, Ayah Mat (panggilan untuk Dato� Asri) yang banyak membantu dari segi kewangan," kenang Ustaz Jaiz terhadap jasa mentuanya itu. Semenjak berhijrah ke London pada akhir 1970 itu, Ustaz Jaiz terus menetap di sana hingga akhir hayatnya.

Bagaimanapun Ustaz Jaiz memberitahu cita-citanya untuk belajar tidak tercapai apabila terpaksa berhenti di pertengahan jalan dan mula menceburi bidang berniagaan di sana.

Walaupun sudah tidak lagi memimpin PAS, Ustaz Jaiz tidak berdiam diri di London. Selain pernah mewakili PAS dalam satu persidangan antarabangsa Islam ketika PAS dalam BN, Ustaz Jaiz giat dengan gerakan dakwah kepada pelajar Melayu di sana. Pendek kata selama hampir 40 tahun beliau menjadi 'duta PAS' di London.

"Antara yang mengikuti tarbiah saya di UK ialah Wan Ismail Wan Ibrahim (bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan, 1974-1978)," beritahu Ustaz Jaiz.

Menurut Ustaz Jaiz juga selain berniaga, beliau juga berdakwah di Kelab Melayu Clapton, Oxford, Cambridge, Brighton dan lain-lain semenjak 1970-an. Beliau turut menjadi rujukan para pelajar Malaysia di sana khususnya yang menyertai gerakan Islam.

Allahyarham Ustaz Fadzil, setiap kali ke London akan mengunjungi beliau.

"Ustaz Fadzil ketika baru tiba dari Mesir, sayalah yang membawa borang PAS kepadanya," getus Ustaz Jaiz apabila mengenangkan keahlian Presiden PAS itu pada 1968.

Kini perjuangan Ustaz Jaiz selama 68 tahun telah berakhir apabila beliau dijemput menemui Allah pada jam 5.30 petang waktu London, 17 Mac 2009 di Hospital UCL, London.

Al-Fatihah untuk seorang pejuang.- tajdid _

http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=020251&Itemid=60

e-mel: lapuria@gmail.com

© Hak Asasi Manusia Terpelihara