IMR TV

IMRTV

Isnin, 29 Mac 2010

Nik Aziz Kekal Mursyidul Am PAS
Oleh ARIFFUDDIN ISHAK

KUALA LUMPUR: Majlis Syura Ulama PAS hari ini membuat keputusan untuk mengekalkan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai Mursyidul Am parti itu.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Majlis Syura Ulama yang bermesyuarat hari ini juga mengambil keputusan untuk mengekalkan jawatan Timbalan Mursyidul Am yang kini disandang oleh Datuk Dr Haron Din.

"Kami telah mengambil keputusan penting iaitu melantik Datuk Nik Aziz untuk terus memegang jawatan Mursyidul Am dan menyambung jawatan Datuk Haron Din sebagai timbalan," katanya dalam sidang media di lobi Parlimen di sini hari ini.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata tempoh perkhidmatan bagi kedua-dua jawatan itu adalah selama lima tahun.

Mengulas mengenai hasrat Nik Abdul Aziz yang membayangkan agar tidak dilantik semula ke jawatan Mursyidul Am PAS, Abdul Hadi berkata, perlantikan tersebut bersesuaian kerana menurut beliau hanya Menteri Besar Kelantan itu yang layak untuk mengisi jawatan berkenaan.

"Itu satu moral yang tinggi dan amat kami hargai, memang dalam Islam kita diajar supaya tidak meminta-meminta jawatan dan kita tak berebut jawatan.

"Islam juga mengajar agar orang yang tidak meminta jawatan itu yang layak dilantik," katanya.

Ditanya sama ada PAS tidak tidak mempunyai calon yang layak untuk menggantikan kedudukan berkenaan, Abdul Hadi berkata: "Ramai yang layak dan kita anggap beliau yang lebih layak daripada orang lain kerana dalam budaya perjuangan islam tak ada persaraan dalam hidup."

Nik Abdul Aziz bagaimanapun tidak hadir pada mesyuarat Majlis Syura Ulama hari ini.

"Tuan guru Nik Aziz tak hadir, tapi kita akan menghantar surat kepadanya dan kita harap beliau akan terima," katanya.

Abdul Hadi juga berkata parti itu masih memerlukan Nik Abdul Aziz untuk meneruskan perjuangan dalam PAS.

"Kita mahu beliau meneruskan perjuangan, yang penting ialah keilmuan dan dan penghormatan daripada ahli PAS," katanya.

Mengenai tahap kesihatan yang kurang memuaskan seperti yang dibangkitkan sendiri Nik Abdul Aziz, Abdul Hadi berkata beliau masih yakin pemimpin veteran itu berupaya menjalankan tugas dengan dibantu oleh ahli jawatankuasanya.

"Tanggungjawab ini dipikul bersama secara kolektif dan bukan individu, sehingga hari ini beliau masih boleh jalankan tugas Menteri Besar, maka tugas Mursyidul Am juga boleh dilaksanakan," katanya.

Rabu, 24 Mac 2010

Selasa, 16 Mac 2010

Isnin Mac 8, 2010

Air Lestari Dengan Teknologi Hijau
Oleh: Tan Sri Rozali Ismail

SARANAN Perdana Menteri kita, Datuk Sri Mohd Najib Tun Abdul Abdul Razak agar Malaysia komited dalam melaksanakan penggunaan tenaga yang boleh diperbaharui dan teknologi hijau baru-baru ini mendapat pelbagai reaksi, terutamanya di kalangan ahli perniagaan. Umum berpendapat usaha ini amat bertepatan pada abad ke-21 ini, di mana teknologi hijau menjadi teras pembangunan ekonomi bagi semua negara.

Pelancaran Skim Pembiayaan Teknoloji Hijau (GTFS) berjumlah RM1.5 bilion akan menggalakkan lagi pelaburan perniagaan dalam teknologi hijau, pembinaan hijau dan inovasi. Teknologi hijau dapat membantu mengurangkan kesan perubahan cuaca, salah satu penyebab utama bencana yang belum pernah terjadi sebelumnya. Mengikut Global Disaster Alert and Coordination System (“GDACS”), dalam tahun 2009 sahaja, dunia telah mencatatkan 133 bencana alam yang besar mengorbankan beribu-ribu nyawa akibat dari kemarau, banjir, taufan, badai, saiklun tropika, angin kuat dan gempa bumi.

Penerapan teknologi hijau Malaysia dapat mengekalkan dan memulihara sumber-sumber asli di samping menyediakan tahap ekonomi baru negara. Perdana Menteri menekankan empat sektor yang akan melaksanakan teknologi hijau iaitu tenaga, pengangkutan, bangunan dan air selaras dengan Polisi Kebangsaan Teknologi Hijau Negara yang dilancarkan pada 24 Julai tahun lepas.

Malaysia mengalu-alukan pelaburan langsung asing dalam teknologi hijau untuk memupuk pelaburan domestik dan penyertaan industri tempatan. Kajian dan inovasi teknologi hijau ke arah komersial akan dipergiatkan, dan insentif yang ditawarkan akan mewujudkan promosi besar-besaran dan kesedaran awam memandangkan ianya adalah sektor baru negara.

Air permukaan yang melimpah ruah dari sungai-sungai, tasik-tasik dan empangan-empangan menjadikan bekalan air terawat amat murah di Malaysia jika dibandingkan dengan bandaraya-bandaraya lain di Asia. Namun, pemusnahan kawasan-kawasan tadahan air dan perlepasan berlebihan sisa buangan pertanian, domestik dan industri turut menyumbang kepada degradasi kualiti air sungai. Pada tahun lepas sahaja, Puncak Niaga telah mengalami 1,433 kes pelanggaran kualiti air di loji-loji rawatan airnya, mengakibatkan penutupan loji-loji ini.

Sebagai contoh pencemaran Sungai Labu dan Sungai Langat dengan bahan kimia ammonia dan minyak diesel telah menyebabkan pemberhentian operasi LPA Salak Tinggi dan Batu 11, Cheras pada bulan Julai tahun lepas, menyebabkan kesulitan kepada lebih 10,000 penduduk di sekitar Salak Tinggi dan 30,000 penduduk di sekitar Cheras. Masalah pencemaran air sungai bukanlah perkara baru dalam episod bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. Masalah pencemaran sumber air juga dialami di beberapa negeri di Malaysia juga.

Jumlah kes pelanggaran kualiti air telah meningkat secara mendadak setiap tahun. Pada tahun 1995, hanya 273 kes pelanggaran kualiti air yang dicatat oleh Puncak Niaga berbanding sebanyak 1,483 kes pada tahun lepas. Median kos untuk merawat air di Selangor dan di seluruh negara telah bertambah dari hanya 5 sen setiap m³ pada tahun 1960an ke 31 sen setiap m³ pada masa kini. Kos operasi yang tinggi menjadi persoalan kepada dua situasi, sama ada pengguna sanggup membayar lebih atau pihak Kerajaan sanggup berbelanja lebih untuk sistem air. Namun begitu, kita sebagai 1Malaysia perlu memainkan peranan dalam mengekalkan alam sekitar, khususnya aset yang amat berharga ini, sumber air.

Di dalam kita menerokai sumber-sumber baru air seperti air bawah tanah, mencegah pencemaran sumber-sumber air mentah adalah lebih murah dan boleh dilaksanakan untuk jangka masa panjang. Menurut Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (“NAHRIM”), taburan hujan tahunan Malaysia secara purata berjumlah sehingga 990 bilion m³, di mana 550 bilion m³ dikategorikan sebagai limpasan permukaan, yang mengalir ke sungai-sungai dan tasik-tasik kita. Jumlah besar ini adalah sumber air mentah tersedia untuk kita nikmati dan adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk memelihara sumber air ini.

Kesedaran atas isu-isu mengenai risiko, keselamatan, bekalan dan pengurusan permintaan air semakin meningkat dalam semua sektor-sektor pembuatan, janakuasa, pemprosesan makanan, pertanian, kertas dan minuman, dan ianya hasil dari agenda teknologi hijau.

Sebagai syarikat perkhidmatan air bersepadu terunggul Malaysia dan tersenarai dalam 50 syarikat air terunggul di dunia, Puncak Niaga menyambut baik langkah Kerajaan dalam menuju ke arah Teknologi Hijau, dan peruntukan dapat dibelanjakan untuk memperbaiki infrastruktur sistem air.

Tan Sri Rozali IsmailPengerusi EksekutifPuncak Niaga Holdings Berhad.

e-mel: lapuria@gmail.com

© Hak Asasi Manusia Terpelihara