IMR TV

IMRTV

Ahad, 31 Mei 2009

Sebagaimana dijangkakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri Penanti dalam saingan empat penjuru tanpa kehadiran Barisan Nasional (BN).

Ahad Mei 31, 2009

Mansor angkat sumpah TKM 1 Pulau Pinang Rabu

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK

BUKIT MERTAJAM: Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang, Mansor Othman yang memenangi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Penanti hari ini akan mengangkat sumpah sebagai Timbalan Ketua Menteri I negeri itu Rabu ini.

Ia diumumkan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng di sini malam ini.

Malah ia turut dinyatakan oleh Penasihat DAP, Lim Kit Siang dalam laman blognya.

Mansor Othman, 59, memenangi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti dengan majoriti 5,558 undi.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan peletakan jawatan penyandangnya, Mohammad Fairus Khairuddin yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang.

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2009/5/31/mstar_berita/20090531204744&sec=mstar_berita
PKR kekal kerusi Penanti, majoriti 5,558

May 31, 09 6:07pm

KEPUTUSAN RASMI Calon PKR, Mansor Othman memenangi pilihanraya kecil DUN Penanti dengan memperolehi 6,052 undi. Beliau menang dengan majoriti 5,558 undi.

Manakala tiga calon bebas - Aminah Abdullah mendapat 392 undi, Khan Ari (494) dan Kamarul Ramizu Idris (56). Kesemua mereka hilang wang deposit RM5,000.

Proses pengiraan undi selesai pada kira-kira jam 7.20 malam. Undi untuk Aminah kebanyakannya datang dari kawasan majoriti Melayu, termasuk Mengkuang, Kuala Mengkuang dan Guar Perahu.

Aminah juga mendapat undi pos terbanyak, iaitu 12 undi berbanding dengan Kamaraul (7), Mansor (2) dan Nai (0).

Nai pula banyak mendapat undi dari dua kawasan, iaitu Teluk Wang - yang merupakan kawasan masyarakat Thai - dan dari Sungai Lembu, iaitu kubu kuat Gerakan.

Di Sungai Lembu, Mansor mendapat 258 undi manakala Nai mendapat 102 undi, Aminah (2) dan Kamarul (2).

Manakala di Teluk Wang pula, Nai mendapat 154 undi, Mansor (180), Aminah (21) dan Kamarul (1).

Di bawah adalah keputusan rasmi sehingga jam 7.18 malam.

Sehingga jam 7.18 malam ini, keputusan tidak rasmi menunjukkan calon PKR, Mansor Othman mendahului dengan memperolehi 6,266 undi, diikuti tiga calon bebas - Aminah Abdullah (290), Nai Khan Ari (534) dan Kamarul Ramizu Idris (48).

Sehingga jam 7.16malam ini, keputusan tidak rasmi menunjukkan calon PKR, Mansor Othman mendahului dengan memperolehi 6,054 undi, diikuti tiga calon bebas - Aminah Abdullah (382), Nai Khan Ari (514) dan Kamarul Ramizu Idris (47).

Sehingga jam 7.13 malam ini, keputusan tidak rasmi menunjukkan calon PKR, Mansor Othman mendahului dengan memperolehi 5,672 undi, diikuti tiga calon bebas - Aminah Abdullah (357), Nai Khan Ari (455) dan Kamarul Ramizu Idris (45).

Sehingga jam 7.10 malam ini, keputusan tidak rasmi menunjukkan calon PKR, Mansor Othman mendahului dengan memperolehi 5,309 undi diikuti tiga calon bebas - Aminah Abdullah (329), Nai Khan Ari (301) dan Kamarul Ramizu Idris (44).

Sehingga jam 7.05 malam ini, keputusan tidak rasmi menunjukkan calon PKR, Mansor Othman mendahului dengan memperolehi 4,963 undi diikuti tiga calon bebas - Aminah Abdullah (298), Nai Khan Ari (297) dan Kamarul Ramizu Idris (34).

Sehingga jam 7.00 malam ini, keputusan tidak rasmi menunjukkan calon PKR, Mansor Othman mendahului dengan memperolehi 4,784 undi diikuti tiga calon bebas - Aminah Abdullah (294), Nai Khan Ari (293) dan Kamarul Ramizu Idris (34).

Sehingga jam 6.55 petang ini, keputusan tidak rasmi menunjukkan calon PKR, Mansor Othman mendahului dengan memperolehi 4,289 undi diikuti tiga calon bebas - Aminah Abdullah (258), Nai Khan Ari (273) dan Kamarul Ramizu Idris (26).

Sehingga jam 6.50 petang ini, keputusan tidak rasmi menunjukkan calon PKR, Mansor Othman mendahului dengan memperolehi 3,637 undi diikuti tiga calon bebas - Aminah Abdullah (248), Nai Khan Ari (243) dan Kamarul Ramizu Idris (24).

Sehingga jam 6.45 petang ini, keputusan tidak rasmi menunjukkan calon PKR, Mansor Othman mendahului dengan memperolehi 3,431 undi diikuti tiga calon bebas - Aminah Abdullah (223), Nai Khan Ari (243) dan Kamarul Ramizu Idris (24).

Sehingga jam 6.35 petang ini, keputusan tidak rasmi menunjukkan calon PKR, Mansor Othman mendahului dengan memperolehi 3,222 undi diikuti tiga calon bebas - Aminah Abdullah (180), Nai Khan Ari (235) dan Kamarul Ramizu Idris (24).

Sehingga jam 6.30 petang ini, keputusan tidak rasmi menunjukkan calon PKR, Mansor Othman mendahului dengan memperolehi 2,964 undi diikuti tiga calon bebas - Aminah Abdullah (178), Nai Khan Ari (133) dan Kamarul Ramizu Idris (22).

Sehingga jam 6.25 petang ini, keputusan tidak rasmi menunjukkan calon PKR, Mansor Othman mendahului dengan memperolehi 2,517 undi diikuti tiga calon bebas - Aminah Abdullah (153), Nai Khan Ari (71) dan Kamarul Ramizu Idris (20).

Sehingga jam 6.20 petang ini, keputusan tidak rasmi menunjukkan calon PKR, Mansor Othman mendahului dengan memperolehi 2,089 undi diikuti tiga calon bebas - Aminah Abdullah (114), Nai Khan Ari (63) dan Kamarul Ramizu Idris (16).

Sehingga jam 6.15 petang ini, keputusan tidak rasmi menunjukkan calon PKR, Mansor Othman mendahului dengan memperolehi 1,873 undi diikuti tiga calon bebas - Aminah Abdullah (100), Nai Khan Ari (52) dan Kamarul Ramizu Idris (14).

Sehingga jam 6.10 petang ini, keputusan tidak rasmi menunjukkan calon PKR, Mansor Othman mendahului dengan memperolehi 1,294 diikuti tiga calon bebas - Aminah Abdullah (81), Nai Khan Ari (40) dan Kamarul Ramizu Idris (11).

Jumlah pemilih yang keluar mengundi dalam pilihanraya kecil DUN Penanti ialah 46.15 peratus atau 7,100 orang.

Peratusan tersebut juga merupakan hanya hampir separuh daripada 82.1 peratus pengundian dalam pilihanraya umum lalu.

Proses pengundian bagi pilihanraya kecil DUN Penanti bermula jam 8 pagi tadi. Sebanyak 32 saluran mengundi di sepuluh pusat pengundian. Lapan daripada pusat tersebut ditempatkan di sekolah dan sebuah lagi di dewan orang ramai.

Pusat-pusat pengundian ialah SMK Guar Perahu, SK Guar Perahu, Dewan Orang Ramai Kampung Tun Sardon, Ara Kuda, SK Mengkuang, SJK (C) Perkampungan Sungai Lembu, SMK Mengkuang, SMK Penanti SK Tanah Liat dan SRJK(C) Jit Sin (A) Jalan Berapit.

Kerusi DUN Penanti kosong ekoran peletakan jawatan penyandangnya, Mohammad Fairus Khairuddin pada 16 April lalu, selepas melepaskan jawatan timbalan ketua menteri 1 Pulau Pinang seminggu sebelumnya.

kerusi dun penanti pulau pinang 200409Dalam pilihanraya umum lalu, Fairus dari PKR mendapat 7,346 undi, menewaskan calon BN, Datuk Abdul Jalil Majid yang mendapat 5,127 undi.

BN tidak bertanding dalam pilihanraya kecil hari ini. Empat calon yang bertanding ialah Timbalan Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang, Mansor Othman; 59; dan tiga calon bebas - bekas ketua wanita PKR, Pulau Pinang, Aminah Abdullah, 56; bekas ketua Pemuda Gerakan Cawangan Telok Wang, Penanti, Nai Khan Ari a/l Nai Keow, 41 dan pakar motivasi Kamarul Ramizu Idris, 42.

BN memutuskan tidak meletakkan calonnya bertanding dalam pilihanraya kecil tersebut atas alasan kekosongan kerusi tersebut adalah usaha PKR untuk menyelesaikan masalah dalamannya.

BN juga mendakwa pilihanraya kecil ini satu permainan politik pembangkang.

http://www.malaysiakini.com/news/105517

Jumaat, 29 Mei 2009

Audit: Kos PKFZ boleh cecah RM12 bil

Jimadie Shah Othman & Andrew Ong May 28, 09 6:04pm

Laporan audit Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) menunjukkan bahawa kos projek tersebut boleh melonjak kepada RM12 bilion berbanding RM1.96 bilion ketika ia dilancarkan pada 2001.

Menurut laporan tersebut - yang disediakan oleh PriceWaterhouse Coopers (PwC) yang diumumkan hari ini - jumlah tersebut meliputi kos faedah pinjaman.

Kesimpulan utama laporan audit tersebut menyatakan bahawa kos projek yang tinggi, kelemahan urustadbir dan kelemahan pengurusan projek, telah menjejaskan kejayaan PKFZ.

Oleh itu, laporan itu menegaskan adalah amat penting bagi PKA mengambil tindakan segera bagi menstrukturkan semula pinjaman mudah dari Kementerian Kewangan sebanyak RM4.632 bilion untuk mengelak kegagalan pembayarannya pada 2012.

Kerajaan Malaysia juga, tambah laporan tersebut, perlu mengambil tindakan bersepadu untuk memperbaiki semula kedudukan PKFZ supaya menjadi satu pelaburan yang berjaya.

Kabinet meluluskan projek PKFZ pada bulan Mac 1999. Ia mengikut model Zon Bebas Jebel Ali di Dubai.

Bagaimanapun, kos pelaksanaannya telah meningkat dari RM1.957 bilion pada 2001/2002 kepada RM3.522 bilion pada 2008, tidak termasuk kos faedah.

Jika mengambilkira kos faedah, jumlahnya boleh mencecah RM7.453 bilion

Menurut laporan itu lagi, PKA telah menandatangani beberapa perjanjian dengan Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) untuk membeli tanah dan memaju projek itu secara turnkey.

Kos anggaran asalnya untuk membeli tanah dan kerja-kerja memajukannya pada 2001 adalah sebanyak RM1.957 bilion.

Bagaimanapun, kos berbelanjaan projek itu telah meningkatkan kepada RM3.522 bilion pada 31 Disember 2008.

Manakala kos faedah daripada bayaran tertangguh kepada KDSB berjumlah RM1.425 bilion, dan ini menjadikan jumlah perbelanjaan keseluruhan projek tersebut ialah RM4.947 bilion.

Laporan itu menyebut, PKA tidak mampu membiayai obligasinya kepada KDSB dari sumber kewangannya sendiri pada jadual pertama pembayaran pada tahun 2007.

Berikutan itu, PKA mendapatkan pinjaman mudah RM4.632 bilion dari Kementerian Kewangan (MOF). Pinjaman tersebut menyebabkan kos faedah tambahan RM2.506 bilion, dan menjadikan kos keseluruhan PKFZ mencecah RM7.453 bilion.

Menurut laporan itu lagi, PKA mesti menstrukturkan semula pinjaman mudah dari MOF itu bagi mengelak kemungkinan kegagalan pembayaran pada 2012.

Katanya, unjuran aliran tunai yang disediakan oleh pengurusan PKA menunjukkan bahawa lembaga itu akan mengalami defisit terkumpul tunai antara tahun 2012 dan 2041, selepas membayar dua bayaran ansuran kepada MOF.

Sekiranya PKA gagal untuk menjelaskan bayaran ansuran pinjaman MOF mengikut jadual, dan pembayaran ansuran itu ditangguhkan untuk dipadankan dengan unjuran aliran tunainya, maka menurut laporan tersebut, lembaga itu akan menanggung kos faedah tambahan kira-kira RM5 bilion.

Keadaan itu, tambahnya, akan melonjakkanlagi perbelanjaan projek tersebut kepada RM12.453 bilion.

Menurut laporan itu lagi, tidak dapat dipastikan sama ada PKA telah menerima nilai wang bagi jumlah yang telah dibelanjakan untuk memajukan PKFZ.

Pendekatan PKA dalam melaksanakan projek tersebut, tambahnya, ialah - sebagai satu pembangunan turnkey - tanggungjawab terletak di bahu KDSB untuk menyerahkan kerja-kerja yang telah siap kepada PKA, dengan kadar penyeliaan yang minima.

Tambahan lagi, tegas laporan itu, ia terlalu bergantung kepada juruukur bahan, QS4, untuk mengesahkan kos anggaran berdasarkan kepada rekabentuk-rekabentuk yang telah siap yang dikemukakan oleh KDSB.

PKA, tambahnya, boleh menguruskan projek itu dengan lebih baik lagi, umpamanya, dengan melantik pegawai penyelia yang berkelayakan, bagi memastikan ada pelan induk JAFZI/TSG dan spesifikasi terperinci bangunan/infrastruktur sebelum kerja-kerja dimulakan; menggunakan tender terbuka dalam pemberian kontrak; dan menggunakan juruukur bahan (GS4) sendiri secara lebih berkesan lagi.

Menurut laporan tersebut, Kementerian Pengangkutan (MOT)/PKA boleh mendapat faedah daripada kos pembiayaan yang rendah sekiranya ia mengeluarkan bon jaminan kerajaan untuk membiayai projek tersebut.

Sebagai contohnya, kata laporan itu lagi, PKA boleh mengeluarkan bon pada kadar 4.27 peratus seperti yang dinikmati Syarikat Prasarana Nasional Berhad (SPNB) untuk membeli tanah secara langsung pada harga RM21 sekali persegi (psf) (secara tunai), berbanding RM25 psf (secara bayaran tertangguh).

Oleh itu, tambahnya, jumlah anggaran keseluruhan perbelanjaan bagi membeli tanah tersebut adalah RM1.276 bilion berbanding dengan RM1.808 bilion - membolehkan penjimatan sebanyak RM0.532 bilion.

PKA juga, kata laporan itu, boleh menjimatkan lagi kos pembiayaannya seandainya ia memajukan unit industri ringan (ILU) dalam tempoh lapan tahun sepertimana yang disyorkan dalam pelan induk JAFZI/TSG dan bukannya dilaksanakan dalam tempoh dua tahun.

Laporan penuh PwC
http://www.pka-report.com/pka/Agree.action

Jumaat, 8 Mei 2009

Tulisan Nik Abduh mengenai
Islam, ulama dan syura

September 26, 2008

Salam Ramadhan,

Semasa saya mengunjungi ayahanda di hospital untuk memberitakan pemergian saya ke Mesir sebelum bulan Ramadhan baru – baru ini, saya sempat juga menyertai perbualan ayahanda dengan beberapa orang pelawat yang lain. Sangat biasa saya hanya menjadi pendengar yang tekun sahaja dan jarang mencelah kecuali apabila perlu, saat ayahanda berpaling ke arah saya seperti meminta pandangan daripada saya.

Apabila saya memberi pandangan di hadapannya, saya agak terlalu merendahkan suara sehingga saya sendiri rasa terkilan, bimbang ayahanda gagal memahami maksud saya. Ia mungkin suatu yang negatif dan dilihat tidak memberi manfaat apa – apa. Tetapi, sepanjang dididik sedari kecil di bawah tarbiyah Islamiyah, samada di rumah atau di sekolah, saya mendapatinya sebagai suatu terjemahan kepada adab – adab Islamiyah yang tinggi.

Ia bagi saya adalah penghayatan kepada sebuah kehidupan yang penuh sopan dan teladan yang dianjurkan Islam. Adab dan akhlak mulia adalah isi penting pengajaran dan kehidupan Islamiyah.

Pertama, saya kena memuliakannya sebagai seorang bapa. Ibu dan bapa adalah syarat memasuki ridha dan syurga tuhan. Ia menyentap nikmat perjuangan dan kehidupan jika dialpakan dan dipinggiri kepentingannya. Ayah dan ibu bukan untuk dipohon ampun dan dipeluk cium hanya di pagi raya, bahkan setiap pagi adalah hari raya untuk mereka daripada kita anak – anak. Kita perlu membahagiakan mereka di hadapan dan di belakang mereka. Biar kita menjadi syurga mereka di dunia ini sebelum mereka menjadi syurga kita.

Ibu bapa mana tidak gembira melihat kita tergagap – gagap rentak kita di hadapannya semata – mata kerana ingin menghormati, beradab dan menjaga tata santun kita di depannya. Biar mereka menikmati kita hari ini sebagaimana mereka menikmati kita semasa mereka mendidik kita semasa kecil dahulu. Perhatilah, merekakan terhibur melihat gelagat dan ngomelan cucu – cucu mereka, anak – anak kita itu. Biar sifat keanakan itu masih menjadi pakaian rasmi kita di hadapan mereka, biar besar mana nama kita di sisi masyarakat di luar sana.

Kedua, saya kena memuliakannya sebagai seorang ulama. Ayahanda adalah tok guru di sisi masyarakat. Ia terus memuncak sehingga masyarakat menobatkannya sebagai seorang Menteri Besar sebuah kerajaan negeri Islam. Kesultanan pula memuliakan penghormatan rakyat ke atasnya dengan menganugerahkannya pula gelaran kebesaran istana. Panjangnya nama ayahanda, Yang Amat Berhormat Tuan Guru Dato Haji Nik Abdul Aziz bin ( Tuan Guru ) Haji Nik Mat ( Alim ).

Jika semua masyarakat berebut – rebut untuk memuliakannya, maka mestilah saya kena merebutinya di tempat yang pertama. Dia ayah saya sebelum dia adalah tok guru saya dan semua. Saya mesti memenangi perlumbaan ini di tempat yang pertama.

Ulama besar sungguh di sisi Islam. Ia menjadi besar kerana tiada lagi nabi hari ini. Tiada lagi utusan langsung dari langit atas sebagaimana zaman dahulu kala sebelum kedatangan rasul akhir zaman sallaLlahu alaihi wasallam. Zaman mana ada nabi, tiadalah ulama menjadi besar sebagaimana hari ini yang tiada lagi nabi.

Ulama itu pewaris para nabi. Nabi mewarisi ilmu langit. Kadar mana ilmu itu diwarisi ulama, kadar itulah darjat ulama menjadi tinggi. Oleh kerana nabi kita begitu diangkat ketinggiannya, maka para ulama pewaris pun turut mewarisi dan menerima tempias ketinggian itu. Ulama dijulang kerana nabi dijulang. Ulama dipalang pun kerana nabi dipalang jua.

Ulama mewarisi ilmu dan perjuangan para nabi. Bebanan ulama tak sama dengan bebanan kita orang biasa. Mereka mesti menjaga ugama. Mereka mesti menjaga dakwah. Mereka kena menarik kemaslahatan kepada ummah dan menolak kemudharatan daripada mereka.

Begitu ugama ini dijaga daripada kebatilan dan kerosakan. Ia mesti kekal sebagai ugama suci untuk dianuti jiwa yang mahukan kesucian di dunia ini.

Allahlah yang menjaga ugama ini. Ia mengarahkan malaikat Jibril memeliharanya sehingga terus diwahyukan dan diperolehi al Rasul sallaLlahu alaihi wasallam. Kemudian baton penjagaan itu dipegang oleh Nabi Muhammad sehinggalah kewafatannya. Kemudian ia diserahkan kepada para sahabat sebagai ulama dan pewaris pertama ugama ini. Mereka adalah para tuan guru pertama umat Muhammad sebelum kita.

Di sini berlaku lompang yang memisahkan antara dua rasul tuhan ( Jibril dan Muhammad ) dengan para sahabat ( ulama pertama ). Yang pertama disucikan daripada dosa dan kesalahan, sedang yang kedua kekal berhadapan dosa dan kesalahan.

Bagaimana agama ini dijaga oleh para pewaris yang tidak mewarisi kesucian dan ismah ( maksum )? Tidakkah ini mengakibatkan ugama juga akan terdedah kepada pemalsuan dan pemunahan?

Ia adalah persoalan yang besar dan pasti mencetus fitnah. Tetapi Allah yang maha bijaksana lebih mendahului persoalan itu dengan jawaban yang telah pun siap siaga disediakan.

Nabi Muhammad diarah untuk meladeni para sahabat yang akan mewarisi ugama ini daripadanya dengan menjadikan mereka ahli mesyuaratnya. Siapalah para sahabat yang penuh kekurangan untuk diambil timbang pandangan mereka di hadapan ar Rasul yang penuh maksum? Tidakkah cukup sudah segala jawaban jika ianya datang walaupun hanya dari seorang seperti ar Rasul? Apalah gunanya lagi pandangan para sahabat?

Namun begitulah Allah mempersiapkan jawaban buat mengisi kelompangan besar antara kedua – duanya. Betul, al Rasul cukup dengan wahyu dan Allah di sisinya untuk menjaga ugama tanpa pandangan dan jawaban para sahabat, tetapi begitulah amalan syura dihidupkan seawal zaman nabi masih di persada kehidupan buat memahamkan kita bahawa syura ulama adalah pewaris ugama ini.

Seorang nabi tidak diwarisi oleh seorang ulama. Seorang Muhammad yang menjaga ugama itu diwarisi ilmu ugama dan perjuangannya oleh sejumlah ulama yang membentuk syura yang muktabar.

Jumlah yang ramai itulah yang menjadi penyelamat sepanjang zaman kepada perjalananan ugama suci ini untuk terus kekal suci sampai kiamat.

Syura mesti daripada ulama yang mewarisi ilmu al Quran. Ia mesti dipilih oleh para ulama daripada kalangan mereka atau dengan keputusan mereka. Demikian ugama ini menjadi kebal untuk dibolosi anasir – anasir yang akan mencacatkan dan mengotorkan agama suci ini.

Agama bukan milik Ibnu Taimiyah atau Hasan al Banna atau Yusuf al Qaradhawi atau individu mana pun. Juga, ia bukan milik Abdul Aziz, atau Abdul Hadi atau Harun Din atau individu mana pun. Ia milik syura yang dikebalkan Allah dengan kekebalanNya. Himpunan ulama mencipta Ijma’ ulama. Ijma’ ulama adalah sumber ugama selepas Al Quran dan al Hadis. Begitu kita mesti memahamkan diri.

Betul, setiap ulama adalah bintang yang bercahaya. Anda menikmatinya saat langit malam itu cerah, aman dan sejahtera. Namun, apabila awan mula menggulung – gulung dan petir memanah – manah, anda kehilangan petunjuk bintang itu.

Begitulah, anda kehilangan individu ulama itu saat fitnah menyerang umat. Anda memerlukan petunjuk yang lebih jelas dan tepat. Itulah syura ulama yang pasti menunjuki.

Semasa saya menyertai perbualan ayahanda dengan beberapa pelawat lain di wad Hospital Pakar Perdana itu, seorang exco negeri memberitahu ayahanda bahawa semacam ada usaha untuk menukarkan kepimpinan ulama di dalam PAS dengan kepimpinan Islam. Ia merujuk kepada beberapa isu dalaman yang melanda PAS saat itu. Juga hari ini?

Ayahanda dengan wajah cerianya mencelah, ” Bagaimana mereka boleh memisahkan antara kepimpinan Islam dengan kepimpinan ulama?”

Anda tak rasa hebatkah dengan jawaban ayahanda ini? Jika begitu, anda betul – betul anak murid yang nakal! Atau beballah..

Saya terbawa – bawa hikmah ini sehingga mensyarahkannya kepada adik – adik seperjuangan di bumi Mesir. Dan sehingga sekarang saya akan menghidupkan hikmah ini.

Jika anda seorang doktor, anda diamanahkan menjaga kesihatan tubuh. Jika anda seorang arkitek dan engineer, anda diamanahkan menjaga kesihatan bangunan. Jika anda seorang ekonomis, jagalah kesihatan kocek.

Jika anda bukan seorang ulama, janganlah anda melangkah ulama untuk menjaga ugama dan dakwah ini. Kelak anda marah jika anda digelar anak tak beradab atau murid yang nakal.

Kita dalam PAS jangan jadi budak-budak nakal. Malu kita..
Presiden Dan Timbalan Presiden PAS Perlu Kalangan Ulama

KUALA KRAI, 30 April (Bernama) -- Presiden dan Timbalan Presiden dalam PAS perlu dipilih daripada kalangan ulama demi masa depan parti itu, kata Ketua Dewan Ulama PAS Pusat Datuk Mohamad Daud.

"Kita mahu jawatan nombor satu dan dua dalam PAS kekal disandang oleh kalangan ulama," katanya kepada Bernama ketika diminta mengulas mengenai pencalonan beberapa pemimpin tertinggi PAS menjelang muktamar agung itu dan lebih menarik tawaran beberapa pemimpin bukan kalangan ulama menawarkan diri bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden.

Antara mereka yang menawarkan diri untuk jawatan itu adalah Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa, Mohamad Sabu, Pesuruhjaya PAS Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hassan Ali.

Mohamad berkata jika kedua-dua jawatan itu tidak diberikan kepada pemimpin bertaraf ulama, beliau khuatir keadaan itu akan merosakkan PAS pada masa depan.

Justeru, beliau tetap mempertahan kepimpinan ulama dalam barisan kepimpinan PAS pada pemilihan di muktamar agung parti itu di Shah Alam, Selangor, Jun ini.

Ditanya mengenai saf kepimpinan yang ada sekarang, Mohamad berkata kedudukan itu wajar dikekalkan tetapi bagi jawatan Naib Presiden dan seterusnya boleh diserahkan kepada pemimpin daripada kalangan profesional atau ulama.

"Tak perlu pertikailah untuk jawatan lain itu. Jawatan lain tidak penting, kecuali untuk nombor satu dan dua," katanya.

-- BERNAMA
Surat Merah dari MSO Kepada Nik Abduh dan Abdul Latiff

KE MINDA adinda Nik Abduh bin Nik Abdul Aziz dan adinda Abdul Latiff bin Abdul Rahman. Keduanya didoakan semoga dalam pemeliharaan Allah di dunia hingga ke akhirat.

Ada pun kenapa kekanda mengambil pendekatan menemui adinda berdua menerusi lembaran ini ialah kerana inilah cara orang-orang dulu menyatakan hasrat yang terbuku di hati selepas ianya tidak tergamak diluahkan melalui tutur dan bicara.

Kiranya adinda berdua sudilah menatapnya sampai ke akhir, mudah-mudahan diberikan Allah s.w.t. taufik dan piala cahaya yang terang benderang untuk menyuluh jalan pemikiran dan perjuangan kita bersama khasnya ruang pemikiran adinda berdua.

Adapun tujuan kekanda menulis surat ini ialah setelah mendengar khabar dari Tanah Serendah Sekebun Bunga, negeri Tadahan Wahyu dan Serambi Makkah yang adinda berdua akan turun ke gelanggang untuk merebut jawatan Ketua Dewan Pemuda Pas Kelantan pada Sabtu, lusa ini.

Sama sekali kekanda bukan hendak melarang pertarungan adinda berdua. Kalau Tok Guru lagi merestuinya apalah lagi dengan kekanda! Ibarat di lautan, Tok Guru adalah gelombang kekanda hanya bueh yang berpusar di pinggiran saja. Bagi kekanda perlawanan adinda berdua tak ubah perlawanan dua adik beradik kembar yang sangat kekanda sayangi dan penuh dimanjakan. Perlawanan itu juga umpama perbalahan antara tangan kanan dan tangan kiri kekanda sendiri.

Sesungguhnya kekanda begitu menyayangi dan bangga dengan pencapaian adinda berdua dalam jelumun politik. Kebetulan pula adinda adalah anak kepada Tuan Guru – Tuan Guru yang dihormati dan disanjungi tinggi di Kelantan. Iya, nama Tok Guru Nik Abdul Aziz berada di persada dunia dan disafkan antara 100 ulama terbilang, handal dalam siasah dan bijak dalam pentadbiran.

Manakala nama Tok Guru Abdul Rahman Sungai Durian pula terkenal sebagai seorang yang hebat dan bermulut masin. Dimalui oleh kawan dan digeruni oleh lawan. Namanya mewangi hingga ke Makkah. Pendeknya kedua nama-nama hebat ini adalah bulan dan mentari kepada bumbung negeri Kelantan Serambi Makkah. Adinda berdua menjadi kejora di masa depan – imam dan murabi yang bakal memimpin jemaah!

Adinda ditadkir lahir dari benih mulia di bumi bertuah. Adinda adalah eset untuk rakyat Kelantan. Kekanda berasa begitu sayu dan sedih sekali apabila mendapat tahu adinda berdua akan turun ke dalam gelanggang untuk berlawan antara satu sama lain. Walaupun perlawanan itu bersenjatakan minda namun kesan kalah tetap ada. Bagaimana pun kekanda mengharapkan yang menang tidak akan jadi arang yang kalah tidak akan jadi abu!

Adinda Nik Abduh dan adinda Abdul Latiff, di sini kekanda tidak mahu berpihak ke mana-mana. Memotong tangan kanan bererti cacatlah tubuh kekanda. Manakala memotong tangan kiri bermakna tidak sempurnalah badan kekanda ini. Kehilangan salah satu dari adinda bermakna tidak sempurnalah jasad hina kanda sebagai insan.

Tetapi sebagai seorang kekanda yang memerhati gelagat dan perkembangan pembesaran adinda-adindanya dalam jelumun politik maka inginlah kekanda membuat sedikit teguran ataupun sekadar peringatan di senja hari. Apakah langkah yang adinda berdua ambil itu sudah difikir habis-habisan dan diperolehi menerusi solat istiqarah atau pun munajat yang panjang atau pun merujuk kepada orang tua-tua? Atau keputusan itu dibuat atas busaran nafsu adinda berdua saja?

Dalam hal ini disebabkan kekanda melihat adinda Abdul Latiff seakan mencuba melangkah bendul dengan melawan adinda Nik Abduh itu, jadi kekanda ingin bertanya dari hati ke hati apakah langkah dan keputusan itu atas perkiraan adianda Abdul Latiff sendiri? Apakah juga langkah itu dibuat setelah adinda Abdul Latiff merasa gah apabila menang sebagai YDP Kuala Krai yang baru lalu menewaskan Pak Da Him Madinah?

Pada fikiran kekanda dengan kedudukan adinda Abdul Latiff sebagai pangkat adik kepada adinda Nik Abduh, iaini selaku Naib Ketua Pemuda manakala Nik Abduh pula sebagai timbalan ketua pemuda, tidak sepatutnya Abdul Latiff melanggar Nik Abduh. Perbuatan itu tidak elok dan tidak manis dipandang orang walaupun dihalalkan oleh kanun siasah.

Nik Abduh kini sudah berusia 39 tahun. Ini bermakna dua tahun lagi Nik Abduh akan meninggal dewan pemuda dan Abdul Latiff akan mengisinya secara automatik. Apakah adinda Abdul Latiff tidak dapat bersabar dalam hal ini? Ingatlah tidak akan lari gunung dikejar hilang kabus nampaklah ia.

Beleklah buku-buku sejarah siasah Pas di Kelantan. Peralihan jawatan-jawatan ketua pemuda dimasa lalu harus juga dijadikan iktibar. Selalunya peralihan jawatan itu dilakukan secara tradisi penuh tomakminah di mana timbalan akan menjadi ketua lazimnya.

Perhatikan semasa Ustaz (Datuk) Abdul Halim Abdul Rahman menjadi ketua pemuda dulu. Apabila Abdul Halim berundur tempatnya diisi Wan Mohamad Jamil (Allayarham) yang menjadi timbalan.

Begitu juga semasa Wan Mohamad Jamil berundur tempatnya diambil oleh Mohammad Husein yang menjadi timbalan pada masa itu, jika tidak silap.

Begitu juga apabila Mohamad Hussein berundur jawatan itu diisi oleh timbalannya Ustaz Hassan Mahmood. Tetapi agak malang bagi Hassan beliau tidak dapat meneruskan tradisi itu apabila beliau dirempuh oleh Datuk Husam Musa dalam satu strategi yang cukup halus untuk merampas jawatan itu.

Perlawanan antara Husam dengan Hassan telah meninggalkan parut yang besar dalam sejarah pemuda Pas Kelantan. Luka keduanya tidak sembuh sampai ke hari ini.

Selepas Husam berundur, sekali lagi jawatan itu diisi oleh timbalannya Datuk Takiyuddin Hassan. Dan apabila Takyuddin Hassan berundur jawatan itu diisi oleh timbalannya Zulkefli Yaacob.

Seperti mana Hassan, Zulkefli juga gagal untuk meneruskan tradisi itu apabila pengisian tempat yang dikosong olehnya diisi oleh Zaki Ibrahim menerusi pertandingan. Zaki bertarung dengan Nasaruddin Daud. Kekanda masih ingat walaupun kekanda ada melarang Nasaruddin agar memberi laluan kepada Zaki, namun nasihat itu tidak didengari.

Dan kini setelah Zaki akan berundur, sepatutnya Zaki akan meninggalkan jawatan itu dengan diisi penuh tertib oleh Nik Abduh. Apa lagi katanya ada persefahaman itu sebelum ini, Nik Abduh akan memgambil tempat Zaki? Benarkah?

Dari segi umur adinda Abdul Latiff masih muda berbanding adinda Nik Abduh. Apabila adinda Abdul Latiff ingin berebut dengan Nik Abduh ia menampakkan Abdul Latiff sedikit gopoh. Dalam hal ini orang tidak akan menyalahkan adinda Nik Abduh kerana tempat itu memang diperuntukan kepadanya menurut tradisi.

Mungkin itu bukan menjadi faktor yang perlu diperhitungkan. Tetapi apakah adinda Abdul Latiff sedar kepada implikasi lain di atas perlawanan itu kelak? Di sini kekanda melihat ada dua implikasi besar yang akan disuluh dari perlawanan adinda dengan Nik Abduh dan akan mencalarkan kemurnian politik adinada.

Pertama, ia memberi kesan kepada Husam yang akan bertanding timbalan presiden. Selama ini orang melihat Husam adalah orang di belakang adinda Abdul Lattif. Banyak bukti-bukti tentang ini. Apa yang kanda bimbang jika orang beranggapan demikian ini menyebabkan akan ada tuduhan ke atas Husam mencampuri urusan pemuda nanti.

Tuduhan itu juga menyebabkan timbul rasa kurang senang di pihak adinda Abduh yang akhirnya memberi natijah buruk. Sedangkan orang juga tahu bahawa hubungan diplomasi antara Husam dengan Nik Abduh tidak begitu lendik tanpa sebab-sebab yang jelas dan nyata.

Kedua ialah, ia memberi impilikasi kepada personaliti politik adinda Abdul Latiff sendiri. Nik Abduh adalah anak kepada Tok Guru. Dalam ramai-ramai anak Tok Guru, Nik Abduhlah yang boleh dikira sebagai pewarisnya dalam politik. Walaupun Tok Guru tidak melarang dan memberi restu kepada perlawanan itu, tetapi Abdul Latiff seharusnya mempunyai mata hati yang cerah untuk membaca hati Tok Guru. Beliau seharusnya makrifah dengan politik Tok Guru.

Adinda kena faham takkan Tok Guru nak larang agar jangan melawan anaknya. Sebagai seorang pengamal politik adil dan saksama, Tok Guru sesekali tidak akan berpihak kepada darahnya sendiri. Sebalik perasaan hati kecil Tok Guru harus dijamah oleh ilusi adinda Abdul Latiff dan setiap orang yang terlibat dengan agenda perlawanan itu.

Apakah sebagai seorang ayah Tok Guru tidak akan remuk apabila ada orang hendak melawan anaknya meskipun dalam keadaan dibolehkan? Sesiapa pun akan merasa demikian. Apa lagi kalau benih yang ditanam lama itu cuba dimatikan secara beragam!

Hari ini pun Tok Guru khabarnya telah membuat kenyataan. Laporan Bernama itu seharusnya dihayati sejernih mungkin. Selami hati dan perasaan Tok Guru hingga ke dasarnya. Apabila Tok Guru menceritakan anakandanya sudah besar panjang, berilmu apakah makna semua itu? Takkan Tok Guru nak menyeru agar semua orang sokong anaknya!

Tidak mengapa kalau Tok Guru tidak betul dan Nik Abduh ada kesalahan kecil sebagai manusia biasa. Tetapi kekandan merasakan tidak salah kalau adinda Abdul Latiff mengorbankan diri dengan memberi laluan kepada Nik Abduh memimpin pemuda. Biarlah kalau pun adianda dikatakan bodoh tetapi kekanda yakin tindakan itu satu pengorbanan besar adinda dan akan dianggap sebagai hadiah kepada Tok Guru.

Akhirnya kepada adinda berdua tertakdir perlawanan tetap ada, berlawanlah dengan jantan atas nawaitu yang kudus. Untuk itu hayatilah gurindam kekanda ini sebaik mungkin;

Kita dengan tok guru, harus mengunjunginya sebelum dipanggil;
Kita dengan tok guru harus memberi sebelum dia minta;
Kita dengan tok guru mengakulah kesalahan sebelum ditanya;
Kita dengan tok guru mengalahlah meskipun kita merasakan benar;
Kita dengan tok guru biarlah kita menanti kehadirannya jangan dia menuggu kemampiran kita;
Kita dengan tok guru selamanya tidak akan menang kerana kita adalah muridnya.
Demikian akal budi dan teladan murid yang geliga kepada tok gurunya yang mursyid.

Akhirnya jika tutur bicara kekanda ini ada salah silap dan menyinggung perasaan, kekanda pohon ampun dan maaf. Salam, MOHD SAYUTI OMAR, Kuala Lumpur. [wm.kl. 8:30 pm 07/05/09]

e-mel: lapuria@gmail.com

© Hak Asasi Manusia Terpelihara