IMR TV

IMRTV

Isnin, 23 Mac 2009

Hentikan Taktik Kotor Tumbangkan Calon : Abdullah

23 Mac, 2009 15:10 PM

Daripada Abdul Muin Abdul Majid

KUWAIT CITY, 23 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata taktik kotor termasuk penyebaran SMS berbentuk fitnah dan usaha memburukkan orang lain perlu dihentikan menjelang pemilihan Umno.

Abdullah, yang juga Presiden Umno, berkata ia tidak sepatutnya menjadi cara bagi menyebabkan mana-mana calon yang bertanding merebut jawatan dalam parti kalah.

"Mereka yang menjadi mangsa boleh mengemukakan aduan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan lawatan rasmi beliau ke Kuwait di sini malam tadi.

Antara mereka yang menjadi sasaran ialah Ketua Wanita Umno Tan Sri Rafidah Aziz, yang melahirkan rasa kecewa dengan tersebarnya SMS berbaur fitnah menjelang pemilihan pergerakan itu pada Rabu ini.

Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu dilaporkan berkata SMS berkenaan mengandungi tuduhan berlakunya amalan politik wang yang mengaitkan beliau serta beberapa penyokongnya.

Abdullah berkata taktik kotor seperti itu perlu dielakkan.

"Memburukkan, mengata serta memfitnah kawan-kawan bukanlah satu cara untuk mendapat undi dan mengalahkan seseorang calon," katanya.

Beliau berpendapat anggota Umno akan membuat pilihan berasaskan kepada sejauh mana mereka mengenali seseorang calon itu, kemampuan menjadi pemimpin dan peranan yang dimainkan oleh calon berkenaan, sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Pemilihan Umno berlangsung sempena Perhimpunan Agung Umno selama lima hari bermula esok. Pemilihan bagi pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri akan berlangsung pada Rabu manakala pemilihan bagi jawatan dalam badan induk akan berlangsung pada Khamis.

Abdullah berkata: "Bila tiba masanya untuk mengundi, saya percaya perkara berupa kekecohan, kata mengata, fitnah, apa yang dilakukan dengan menggunakan SMS, cakap yang bukan-bukan, semua itu tidak diambil kira lagi.

"Yang akan mereka ambil kira pada masa itu ialah siapakah yang mereka anggap sebagai baik dan boleh memimpin parti, boleh berada di kalangan pucuk pimpinan parti."

Perdana Menteri berkata perkara sebegitulah yang akan diambil kira dalam menentukan kalah menang seseorang calon dan beliau yakin perwakilan tidak terpengaruh dengan wang dalam membuat keputusan.

"Saya tahu, saya sudah lama dengan parti ini," katanya.

Abdullah turut diminta mengulas kenyataan Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak semalam yang membayangkan bahawa peruntukan perlembagaan parti mungkin dipinda sebagai antara strategi penting bagi proses pembaharuan dan pemulihan Umno.

"Tak apalah, eloklah. Banyak perkara yang perlu dilakukan untuk Umno. Kita dengarlah apakah langkah yang akan diambil.

"Asalkan apa yang hendak dilakukan itu membawa kebaikan kepada parti, saya percaya sokongan akan diberikan oleh semua pihak," katanya.

Najib dilaporkan berkata perubahan mesti berlaku dalam Umno supaya persepsi negatif rakyat dapat dikikis.

-- BERNAMA

Tiada ulasan:

e-mel: lapuria@gmail.com

© Hak Asasi Manusia Terpelihara