IMR TV

IMRTV

Selasa, 10 Februari 2009

TERAPI PERTUTURAN

10 Februari, 2009 16:34 PM

Tolong! Anak Saya Tak Boleh Bercakap

Oleh Zulkiple Ibrahim

PETALING JAYA, 10 Feb (Bernama) -- Di sepanjang Jalan Bukit Seksyen 11/2 di sini, terdapat satu deretan rumah banglo yang kelihatan sepi dan tenang suasananya berhadapan satu blok kondominium yang dikenali sebagai University Tower.

Waktu ketika itu sudah lewat tengah hari bila penulis ini sampai ke sebuah rumah bernombor 20 yang di hadapannya tertera perkataan'SpeecHelp'.

"Cucu saya anak Sindrom Down. Dia mempunyai masalah bertutur tetapi setelah menjalani beberapa sesi di sini, dia boleh menyebut banyak perkataan," seorang nenek yang hanya mahu dikenali sebagai Anne memberitahu penulis.

Anne menemani cucu lelaki beliau yang berumur empat tahun menjalani sesi terapi pertuturan bersama ahli patologi pertuturan atau SLP di klinik SpeecHelp.

APA ITU TERAPI PERTUTURAN?

Menurut Dr Cindy Lian, yang mahu dikenali sebagai Cindy, patologi pertuturan adalah:

"Ilmu tentang masalah yang dihadapi seseorang dari segi pertuturan, sebutan, kognitif, suara, menelan (disfagia) dan rawatan pemulihan atau pembetulan kecacatan fizikal serta kognitif yang menyebabkan kesukaran bertutur dan menelan".

Cindy yang mempunyai ijazah kedoktoran (PhD) dan sijil kecekapan klinikal dalam patologi pertuturan (CCC-SLP) berkata pakar patologi pertuturan (SLP) membantu masalah serta kesukaran pertuturan, pengeluaran vokal, menelan dan sebutan melalui terapi pertuturan.

Bergantung pada tahap kesukaran, rawatan biasa adalah daripada penguatan secara latihan fizikal serta tunjuk ajar atau latihan secara berulang.

Cindy, pakar dalam patologi pertuturan dan menelan, berkata SLP akan membuat penilaian, diagnosis, merancang serta merawat individu yang mempunyai masalah pertuturan dan berkomunikasi.

SLP memberikan rawatan pada kanak-kanak dan juga orang dewasa.

SIAPA PERLU TERAPI PERTUTURAN?

Terapi ini sesuai untuk sesiapa yang mempunyai masalah pertuturan.

Menurut Cindy, antara mereka yang memerlukan terapi ini ialah kanak-kanak yang mempunyai risiko masalah pertuturan seperti mereka yang mengalami sumbing pada bibir dan lelangit, penyakit genetik dan 'cerebral palsy'.

Kalau anak anda masih belum dapat bercakap pada umur 18 bulan, elok bagi anda membawanya memulakan terapi ini.

Siapa lagi yang memerlukan rawatan pertuturan?

"Kanak-kanak yang sukar bertutur seperti mereka yang hiperaktif, mengalami autism serta juga mereka yang mempunyai kesukaran untuk makan, minum dan menelan," kata Cindy, yang juga anggota Persatuan Pertuturan dan Pendengaran Malaysia (MASH).

Yang lain adalah mereka yang lembab dalam memperoleh kemahiran bertutur, mengalami angin ahmar atau kecederaan otak dan juga kanak-kanak yang mengalami masalah makan dan menelan.

Mereka yang sukar mengeluarkan bunyi perkataan juga digalakkan mendapatkan rawatan ini.

SESI RAWATAN

Menurut Cindy, di awal penilaian, SLP akan bertanyakan ibu bapa tentang sejarah masalah yang dihadapi anak mereka kerana ini membantu dalam merangka rawatan.

Diagnosis akan diberikan dan SLP mungkin terpaksa merujuk pada pakar perubatan yang lain jika ada masalah yang bersangkutan.

Selepas sesi terapi, ibu bapa atau penjaga diberi penerangan mengenai prestasi kanak-kanak itu semasa sesi terapi, dan latihan pertuturan yang perlu, dan bagaimana melakukannya di rumah.

PERKEMBANGAN PESAT

Di Malaysia kini terdapat perkembangan pesat dan minat terhadap individu yang mempunyai masalah pertuturan, sebutan, komunikasi dan suara.

SpeecHelp sebenarnya ialah SpeecHelp Therapy & Resources Sdn. Bhd. Ia ditubuhkan pada tahun 2004 oleh Pamela Thomas Joseph dan Farah Azlina Alkaf , kedua-duanya pakar patologi pertuturan Malaysia yang diiktiraf.

SpeecHelp ditubuhkan untuk membantu ibu bapa yang mempunyai anak serta juga individu yang mempunyai masalah pertuturan dan menelan.

Klinik SpeecHelp berada di No 20, Jalan Bukit Section 11/2, 46200 Petaling Jaya, Selangor.

Mereka yang ingin mendapatkan keterangan lebih lanjut boleh menelefon 03-79542288 atau e-mel info@speechelp.com. Maklumat juga boleh didapati di www.speechelp.com.

-- BERNAMA

http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newsindex.php?id=388790

Tiada ulasan:

e-mel: lapuria@gmail.com

© Hak Asasi Manusia Terpelihara