IMR TV

IMRTV

Rabu, 28 Oktober 2009

Nik Aziz hadir mesyuarat khas Pas hari ini

KOTA BHARU - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan, beliau akan menghadiri mesyuarat khas Pas di Kuala Lumpur bagi membincangkan pergolakan dalam parti itu malam ini.

Menurutnya, beliau tetap hadir pada mesyuarat itu walaupun pada mulanya sudah menyerahkan mandat kepada Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub untuk menyatakan pendirian berhubung saranan supaya Pas mengadakan Muktamar Khas (EGM).

“Saya terpaksa pergi (hadir mesyuarat) walaupun tugas ini saya sudah serahkan kepada Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayob. Tetapi surat khabar hari ini besar-besarkan supaya saya hadir. Saya hadirlah. Insya-Allah.

“Saya pergi, terpaksa saya pergi walaupun saya keletihan sebab tujuh hari di dalam Dewan,” katanya ketika ditemui pemberita semasa Sidang DUN berehat, pagi semalam.

Menurutnya, beliau menerima jemputan supaya hadir dalam mesyuarat itu daripada Pas Pusat atas jemputan rasmi sebagai Mursyidul Am Pas.

Sementara itu, mengulas mengenai mesyuarat itu, Nik Aziz berkata, orang yang sepatutnya dijemput menghadiri mesyuarat khas Pas adalah bukan beliau sebaliknya penganalisis politik, Profesor Dr Aziz Bari dan bukannya beliau seperti yang digembar-gemburkan media.

Nik Abdul Aziz berkata, kolumnis Sinar Harian itu perlu dijemput menghadiri mesyuarat khas itu, kerana kenyataan dan idea mencadangkan diadakan EGM yang dibuatnya adalah berdasarkan kepada artikel yang ditulis beliau.

“Sepatutnya Aziz Bari dijemput. Kenapa Aziz Bari tegur Pas, kenapa? Mesti ada sesuatu yang tidak kena.

“Saya nak ulangi, sepatutnya Aziz Bari dijemput,” katanya.

Jumaat lepas, Nik Aziz dalam blognya, www.bloktokguru.com mencadangkan supaya EGM diadakan bagi menukar ‘dua tiga kerat’ pemimpin parti itu yang bermasalah bagi membersihkan parti daripada golongan pro-kerajaan perpaduan antara Pas dan UMNO yang bertentangan keputusan Muktamar Pas Jun lalu.

Tiada ulasan:

e-mel: lapuria@gmail.com

© Hak Asasi Manusia Terpelihara