IMR TV

IMRTV

Selasa, 9 Jun 2009

07 Jun, 2009 19:02 PM

Muktamar PAS Labuh Tirai Dengan Tekad Keterbukaan Islam

Oleh Syed Azwan Syed Ali

SHAH ALAM, 7 Jun (Bernama) -- Muktamar Tahunan PAS Ke-55 melabuhkan tirainya hari ini dengan pucuk pimpinan parti itu bertekad membuka pintu toleransinya kepada mana-mana pihak dalam menegakkan syiar Islam.

Ini merujuk kepada perbincangan PAS dengan Umno dan kemungkinan penubuhan kerajaan perpaduan yang mendapat tentangan terbuka beberapa perwakilan dan pemimpin daripada ketiga-tiga sayap parti.

Mereka khuatir jika kepimpinan parti tersasar daripada landasan parti dan bimbang sekiranya parti mengulangi kesilapan lalu iaitu ketika parti itu menyertai Barisan Nasional (BN) pada 1974 sebelum keluar daripadanya empat tahun kemudian.

Keterbukaan itu juga dikhuatiri menjejaskan hubungan PAS dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Namun sepertimana ditegaskan Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din, adalah berdosa sekiranya seseorang itu tidak mematuhi pemimpin selagi pemimpin itu tidak melanggar syarak.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam ucapan penggulungan menegaskan perjuangan menegakkan syiar Islam yang menjadi landasan perjuangan parti perlu merentasi sempadan politik sekalipun dengan musuh.

Dalam meyakinkan perwakilan, tokoh ulama itu berkata perjuangan menegakkan syiar Islam boleh dilakukan melalui muzakarah dan persefahaman (sepertimana dilakukan dalam pakatan pembangkang), malah berperang.

Namun jalan terbaik dalam menegakkan syiar agama adalah melalui perdamaian, kata Abdul Hadi merujuk kepada keterbukaan pucuk pimpinan parti dalam soal pembentukan kerajaan perpaduan.

"Di sini perlu kesabaran, jangan kita tutup pintu langsung hingga bercanggah dengan perintah Allah," kata Abdul Hadi sambil meminta ahli parti itu bersatu dan menangkis cubaan lawan untuk memecah-belahkan mereka.

Katanya, apa yang penting adalah bagi setiap ahli untuk membezakan musuh sebenar dengan musuh direka cipta yang dibuat beberapa pihak dengan mewujudkan istilah ulama promuzakarah dan profesional propakatan.

Hakikat ini meningggalkan dua cabaran kepada kepimpinan PAS terutama Abdul Hadi untuk meyakinkan ahli PAS dan sekutunya dalam pakatan pembangkang tentang sejauh mana keterbukaan itu akan menguntungkan semua pihak.

Sikap keterbukaan pimpinan PAS itu turut menimbulkan kekhuatiran di kalangan Kelab Penyokong PAS yang ahlinya terdiri daripada bukan Islam.

"Mereka bertanya adakah PAS meninggalkan mereka dan menjadi kawan setia Umno," kata wakil kelab penyokong PAS Vincent Lee merujuk kepada rundingan sulit dengan Umno yang disifatkan mengguriskan perasaan penyokong bukan Islam dan DAP selaku sekutu PAS.

Cabaran kedua Abdul Hadi adalah untuk membetulkan persepsi di kalangan ahli PAS tentang dakwaan wujudnya dua golongan dalam PAS yang mungkin merapuhkan kekuatan parti itu jika tidak ditangani dengan sebaik-baiknya.

Namun seperti kata Ketua Dewan Pemuda PAS pusat Nasaruddin Hassan Tantawi, dalam ucapan penggulungannya yang membawa maksud jangan kerana kebencian kepada Umno menyebabkan dakwah Islam tidak sampai kepada mereka.

-- BERNAMA

http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newspolitic.php?id=416441

Tiada ulasan:

e-mel: lapuria@gmail.com

© Hak Asasi Manusia Terpelihara