IMR TV

IMRTV

Sabtu, 27 Jun 2009

1
Memorandum
Mengembalikan Penggunaan Bahasa Ibunda Sebagai
Bahasa Pengantar Dalam Pengajaran Dan Pembelajaran
Sains Dan Matematik Di Sekolah Rendah
Kepada
Y.A.B. Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Mohd. Yassin
Timbalan Perdana Menteri Malaysia
Merangkap Menteri Pelajaran Malaysia
Daripada
Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah China Malaysia
Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia
Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia
Malaysian Seven Major Clans Association
Gabungan Alumni Universiti Taiwan Malaysia
Persekutuan Persatuan-Persatuan Alumni Sekolah China Malaysia
Nanyang University Alumni Association Of Malaya
26 Mei 2009
2
Mengembalikan Penggunaan Bahasa Ibunda Sebagai
Bahasa Pengantar Dalam Pengajaran Dan Pembelajaran
Sains Dan Matematik Di Sekolah Rendah
(1) Pendahuluan
Pelaksanaan dasar pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Sains dan
Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) mulai tahun 2003 hingga sekarang telah
mendapat bantahan daripada pelbagai kaum. Pertubuhan-pertubuhan daripada
pelbagai kaum telah banyak kali menyuarakan perasaan tidak puas hati terhadap
kesan-kesan negatif yang timbul di bawah dasar ini. PPSMI merupakan satu masalah
serius yang dihadapi oleh semua kaum, kerana PPSMI ini telah mengingkari prinsip
pendidikan bahasa ibunda dan prinsip pengajaran dan pembelajaran bahasa.
Kami dengan tulus ikhlasnya mengemukakan memorandum ini untuk rujukan dan
pertimbangan Yang Amat Berhormat Tan Sri agar kerajaan membatalkan
pelaksanaan PPSMI, dan mengembalikan penggunaan bahasa ibunda sebagai
bahasa pengantar dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik di
Sekolah Kebangsaan, Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Cina) dan Sekolah
Rendah Jenis Kebangsaan (Tamil). Bersama-sama ini, kami turut menyeru kerajaan
mempertingkatkan tahap penguasaan bahasa Inggeris pelajar dengan memperbaiki
kaedah pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Bahasa Inggeris itu sendiri.
(2) Masalah Yang Ditimbulkan Oleh PPSMI
Keberkesanan penggunaan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar telah diakui
dan diiktiraf oleh pakar-pakar pendidikan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik, dan
Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO). Sekiranya bahasa asing yang
murid-murid kurang biasa dijadikan bahasa pengantar bagi mata pelajaran Sains dan
Matematik, sudah pasti menjejaskan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran
dengan teruk sekali.
Di negara kita, beberapa laporan telah mengesahkan bahawa PPSMI yang
dilaksanakan sejak tahun 2003 membawa kesan negatif di semua aliran sekolah
rendah, sama ada Sekolah Kebangsaan, Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Cina)
mahupun Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Tamil):-
3
① Kongres Pendidikan Melayu Ke-2 yang dianjurkan pada bulan Mac 2005, secara
lantang menunjukkan bahawa kira-kira 500 ribu orang pelajar Melayu akan
keciciran dalam Sains dan Matematik akibat kegagalan menguasai bahasa
Inggeris. Maka, lebih ramai lagi kanak-kanak akan menjadi mangsa sekiranya
kerajaan tetap meneruskan dasar PPSMI yang mengingkari prinsip pendidikan
bahasa ibunda dan prinsip pengajaran dan pembelajaran bahasa.
② Kajian yang dijalankan pada tahun 2005 dan 2006 oleh Gabungan Persatuan
Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) menunjukkan bahawa formula
“2-4-3” yang dilaksanakan pada Tahap I di SJK(C) bukan sahaja menjejaskan
pembelajaran Sains dan Matematik, bahkan juga menjejaskan tahap penguasaan
murid-murid terhadap bahasa Cina akibat jumlah waktu pengajaran bagi mata
pelajaran yang disampaikan dalam bahasa Cina dikurangkan. Pelaksanaan
formula “6-2-3-2” dalam Tahap II juga menimbulkan masalah-masalah seperti
yang berlaku dalam Tahap I. Misalnya, 5 waktu yang diperuntukkan bagi mata
pelajaran Sains yang menggunakan bahasa Cina sebelum ini telah dikurangkan
kepada 3 waktu, manakala 2 waktu lagi diperuntukkan untuk mengajar Sains
dalam bahasa Inggeris, ini menyebabkan mata pelajaran Sains tidak dapat
dihabiskan mengikut sukatan pelajaran yang ditetapkan, dan seterusnya
menjejaskan pembelajaran murid-murid.
③ Yayasan Penyelidikan dan Pembangunan Pendidikan Tamil Malaysia telah
menerbitkan sebuah buku berjudul “The Cry : The Implications of Teaching Maths
and Science in English in Tamil Schools” bagi menunjukkan bahawa dasar PPSMI
yang dilaksanakan di SJK(T) meningkatkan kadar keciciran di kalangan
murid-murid India, dan membawa implikasi negatif kepada pembangunan
sosio-ekonomi masyarakat India. Kira-kira 85% murid-murid India di SJK(T)
berasal daripada keluarga miskin dan SJK(T) merupakan tempat bagi mereka
untuk memperolehi pendidikan asas. Murid-murid India di SJK(T) menghadapi
masalah keciciran di bawah dasar PPSMI akibat kegagalan menguasai bahasa
Inggeris, ini bukan sahaja menafikan peluang masyarakat India untuk
mempertingkatkan tahap pendidikan dan memperbaiki taraf hidup, malah
memudaratkan lagi masalah kemiskinan kaum India.
4
④ Kajian yang dijalankan oleh pasukan penyelidik seramai 50 orang pensyarah dari
7 buah universiti (UPM, UiTM, UPSI, USM, UUM, UMS dan UTM) dengan seliaan
Permuafakatan Badan Ilmiah Nasional (PEMBINA) di 90 buah sekolah rendah
(murid Darjah 5) di seluruh negara menunjukkan bahawa PPSMI gagal
memberikan manfaat kepada pelajar, khususnya pelajar-pelajar Melayu di sekolah
kebangsaan luar bandar.
⑤ Selain itu, dapatan kajian yang dibuat oleh Profesor Emeritus Dato’ Isahak Haron
dari UPSI (Januari 2008) terhadap 1703 orang murid Darjah 5 di 28 buah sekolah
rendah dan 1692 orang guru juga hampir sama dengan kajian yang dibuat oleh
PEMBINA, iaitu, PPSMI tidak mendatangkan manfaat kepada pelajar.
(3) Pandangan Dan Cadangan Kami
Pada tahun 2008, Kementerian Pelajaran telah lima kali mengadakan Persidangan
Meja Bulat PPSMI bagi mendapatkan input pelbagai pihak terhadap hala tuju dasar
PPSMI. Pada hakikatnya, kebanyakan pertubuhan-pertubuhan daripada pelbagai
kaum seperti Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah China
Malaysia (Dong Zong), Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao
Zong), Majlis Permuafakatan PIBG Nasional, Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia,
Permuafakatan Badan Ilmiah Nasional (PEMBINA), Persatuan Linguistik Malaysia,
para pensyarah universiti-universiti tempatan, bekas pegawai-pegawai tinggi
Kementerian Pelajaran dan wakil parti-parti politik pemerintah dan pembangkang
yang hadir dalam persidangan-persidangan tersebut turut bersama-sama menyeru
kerajaan mengembalikan penggunaan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar
bagi mata pelajaran Sains dan Matematik di semua aliran sekolah rendah di samping
meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris melalui mata pelajaran Bahasa Inggeris
itu sendiri.
Berdasarkan maklum balas daripada pelbagai pihak, khasnya kaji selidik
pertubuhan-pertubuhan pendidikan pelbagai kaum dan ahli-ahli akademik, jelas
sekali menunjukkan bahawa dasar PPSMI telah membawa kesan negatif yang
mendalam kepada semua aliran sekolah rendah, terutamanya menjejaskan
keberkesanan pengajaran dan pembelajaran, kerana dasar ini langsung mengingkari
prinsip pendidikan bahasa ibunda dan prinsip pengajaran dan pembelajaran bahasa.
5
Selain itu, mengikut Akta Pendidikan 1996, bahasa pengantar utama bagi Sekolah
Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil
masing-masing ialah bahasa kebangsaan, bahasa Cina dan bahasa Tamil. Oleh itu,
pelaksanaan dasar PPSMI bertentangan dengan peruntukan Akta Pendidikan 1996
dan jaminan kerajaan tidak mengubah bahasa pengantar utama ketiga-tiga aliran
sekolah rendah tersebut. Pada hakikatnya, dasar PPSMI telah menjejaskan
kebolehpercayaan kerajaan dan menimbulkan perasaan tidak puas hati rakyat
pelbagai kaum di negara kita.
Kami dengan tegasnya membantah pelaksanaan dasar PPSMI di sekolah rendah.
Sehubungan itu,
1. Kami menyeru kerajaan memansuhkan dasar pengajaran dan pembelajaran
mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris di Sekolah
Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Sekolah Jenis
Kebangsaan Tamil.
2. Kami menyeru kerajaan mengembalikan dengan segera penggunaan bahasa
ibunda sebagai bahasa pengantar dalam mata pelajaran Sains dan
Matematik, iaitu pengajaran, pembelajaran dan peperiksaan mata pelajaran
Sains dan Matematik dijalankan dalam bahasa kebangsaan di Sekolah
Kebangsaan dan dalam bahasa Cina di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan
dalam bahasa Tamil di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil.
3. Kami bersetuju supaya pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris
sebagai satu mata pelajaran tersendiri diperkukuhkan dan dipertingkatkan di
semua sekolah. Kami menyokong usaha kerajaan untuk meningkatkan tahap
penguasaan bahasa Inggeris di kalangan rakyat, tetapi ia perlu dilaksanakan
berdasarkan kurikulum, tenaga pengajar, bahan-bahan dan kaedah
pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Bahasa Inggeris, supaya
betul-betul menepati prinsip pengajaran dan pembelajaran bahasa. Kami
menyeru kerajaan mengambil tindakan serius untuk memperbaiki pengajaran
dan pembelajaran mata pelajaran Bahasa Inggeris untuk memastikan pelajar
kita dapat menguasai bahasa Inggeris dengan lebih baik. Selama ini,
sebahagian pelajar kita terutamanya di sekolah-sekolah luar bandar, tidak
6
fasih berbahasa Inggeris walaupun bahasa ini telah diajarkan kepada mereka
selama 11 tahun dari Darjah 1 hingga Tingkatan V. Masalah inilah yang
sepatutnya diselesaikan oleh kerajaan, bukannya mengubah kepada dasar
PPSMI, lalu menimbulkan masalah yang tidak patut timbul.
(4) Penutup
Pendidikan adalah satu aspek yang penting dalam agenda pembangunan negara.
Memandangkan dasar PPSMI telah menimbulkan pelbagai masalah dan kesan
negatif kepada semua aliran sekolah rendah, maka, sekiranya kerajaan tetap
meneruskan dasar PPSMI, bukan sahaja lebih ramai lagi kanak-kanak akan menjadi
mangsa, malah juga akan melemahkan mutu pendidikan negara, dan akhirnya
menjejaskan pembangunan dan daya saing negara di dunia sejagat.
Dengan tulus ikhlasnya kami menyampaikan memorandum ini dan besarlah harapan
kami agar sudilah kiranya Yang Amat Berhormat Tan Sri memandang serius
pandangan dan cadangan kami untuk mengembalikan penggunaan bahasa ibunda
sebagai bahasa pengantar dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik
di semua aliran sekolah rendah.
7
LAMPIRAN:
“Cadangan-Cadangan Pertubuhan-Pertubuhan Cina Utama
Untuk Menyelesaikan Masalah-Masalah Yang Dihadapi Oleh Pendididkan
Aliran Bahasa Cina ”
(1) Pendahuluan
Selain daripada isu Pengajaran Dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa
Inggeris (PPSMI), selama ini pendidikan aliran bahasa Cina juga menghadapi pelbagai
masalah yang menyebabkan perkembangannya tersekat. Bersama-sama ini, dengan tulus
ikhlasnya kami mengemukakan cadangan-cadangan untuk pertimbangan dan tindakan Yang
Amat Berhormat Tan Sri, supaya masalah-masalah yang dihadapi oleh pendidikan aliran
bahasa Cina sekian lama ini dapat diselesaikan dengan sempurna.
(2) Cadangan-Cadangan Kami
2.1 Cadangan Melaksanakan Satu Sistem Perancangan Dan Pembinaan Sekolah
Yang Munasabah Bagi Semua Aliran Sekolah
Kami menyeru kerajaan mengkaji semula dan meminda garis panduan perancangan sekolah
serta mengadakan satu sistem pembinaan sekolah bagi semua aliran sekolah dengan
menyediakan tanah rizab sekolah dan peruntukan pembangunan untuk membina sekolah
mana-mana aliran yang diperlukan oleh penduduk-penduduk di setiap kawasan perumahan.
2.2 Cadangan Memberi Peruntukan Kewangan Secara Adil Kepada Sekolah
Kerajaan Dan Sekolah Bantuan Kerajaan
Selama ini, hak milik tapak sekolah, iaitu sama ada dimiliki oleh kerajaan atau lembaga
pengurus sekolah telah dijadikan ukuran untuk memberi peruntukan kewangan kepada
sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan. Kami berpendapat bahawa dasar sedemikian
adalah tidak munasabah, kerana telah menyebabkan sekolah bantuan kerajaan tidak diberi
bantuan kewangan yang sewajarnya. Sebenarnya tidak kira sekolah kerajaan mahupun
sekolah bantuan kerajaan, semuanya merupakan sekolah yang dikendalikan oleh kerajaan, dan
telah diberi tanggungjawab yang sama, iaitu melahirkan modal insan untuk pembangunan
negara. Maka, kerajaan seharusnya memberi layanan yang samarata kepada sekolah kerajaan
dan sekolah bantuan kerajaan.
Kami menyeru kerajaan memberi peruntukan kewangan secara adil kepada sekolah kerajaan
dan sekolah bantuan kerajaan berdasarkan bilangan murid dan keperluan sebenar
masing-masing supaya tidak ada mana-mana sekolah yang diketepikan dalam arus
pembangunan negara.
8
2.3 Cadangan Mewujudkan Pelan Latihan Perguruan Yang Sempurna Dan
Menyeluruh Untuk Menyelesaikan Masalah Kekurangan Guru Terlatih Di
SJKC
Kami menyeru kerajaan mewujudkan satu pelan latihan perguruan yang sempurna dan
menyeluruh secara profesional, telus dan sistematik untuk melahirkan guru terlatih yang
mencukupi berdasarkan mata pelajaran yang diperlukan supaya masalah kekurangan guru
terlatih di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) yang telah berlarutan berpuluh-puluh tahun
dapat diatasi dengan sepenuhnya.
Untuk tujuan tersebut, kami bercadang supaya kerajaan menerima Sijil Peperiksaan Bersama
(Unified Examination Certificate, UEC) Sekolah Menengah Persendirian Cina sebagai salah
satu kelayakan untuk melanjutkan pelajaran di Institusi Pendidikan Guru atau jurusan
pendidikan perguruan di universiti-universiti awam tempatan, agar lebih banyak calon yang
berkualiti diberi peluang untuk dilatihkan sebagai guru SJKC.
2.4 Cadangan Memberi Peruntukan Kewangan Tahunan Dan Mengiktiraf Sijil
Peperiksaan Bersama Sekolah Menengah Persendirian Cina
Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) merupakan institusi pendidikan bukan
keuntungan (non-profit), dan selama ini telah melahirkan banyak tenaga manusia untuk
masyarakat dan negara kita. Oleh itu, kami menyeru kerajaan memperuntukkan bantuan
kewangan berdasarkan bilangan murid kepada Sekolah Menengah Persendirian Cina dalam
Belanjawan Negara setiap tahun.
Kami juga menyeru kerajaan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama (Unified Examination
Certificate, UEC) Sekolah Menengah Persendirian Cina dan menerima sijil tersebut sebagai
salah satu kelayakan untuk memasuki institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi
pendidikan guru.
2.5 Cadangan Menetapkan Kuasa Pengelolaan Lembaga Pengelola SJK(C) Serta
Mengumumkan Peraturan-Peraturan Pendidikan Berkenaan Lembaga
Pengelola SJK(C) Di Bawah Akta Pendidikan 1996
Lembaga Pengelola SJK(C) telah banyak berjasa kepada pembangunan negara, sumbangan
mereka tidak boleh dinafikan. Tambahan pula, kedudukan dan kuasa pengelolaan telah
termaktub dalam Akta Pendidikan, maka, kuasa pengelolaan lembaga pengelola adalah sahih
dalam perundangan dan tidak boleh diragui.
Walaupun Akta Pendidikan 1996 telah berkuatkuasa selama 10 tahun, tetapi hingga hari ini,
peraturan-peraturan pendidikan berkenaan lembaga pengelola di bawah Akta Pendidikan 1996
masih belum diumumkan. Ini menyebabkan masyarakat Cina bimbang kuasa lembaga
pengelola akan dinafikan oleh pihak berkuasa.
Kami menyeru kerajaan menetapkan kuasa pengelolaan Lembaga Pengelola SJK(C) serta
mengumumkan peraturan-peraturan pendidikan berkenaan Lembaga Pengelola SJK(C)
dengan segera untuk mengelakkan timbulnya sebarang kekeliruan.
9
(3) Penutup
Besarlah harapan kami agar sudilah kiranya Yang Amat Berhormat Tan Sri mengambil
prihatin dan memberi pertimbangan yang sewajarnya terhadap cadangan-cadangan kami.
Semoga di bawah pimpinan dan usaha Yang Amat Berhormat Tan Sri, masalah-masalah yang
dihadapi oleh pendidikan aliran bahasa Cina sekian lama ini dapat diselesaikan dengan
sepenuhnya, dan seterusnya membangunkan negara kita sebagai pusat pendidikan yang
berkualiti dan bertaraf tinggi yang mampu menjadi contoh kepada negara-negara serantau.

http://web.jiaozong.org.my/doc/2009/rnr/ministry02.pdf

Tiada ulasan:

e-mel: lapuria@gmail.com

© Hak Asasi Manusia Terpelihara